• 19 Mei 2024 | 11 Zulkaedah 1445

Pengarah Penjara Terengganu Dahului 149 Penerima Pingat Kebesaran Negeri

KUALA TERENGGANU, 5 Mei - Pengarah Penjara Terengganu, Penolong Kanan Komisioner (PKK) Hamid Taha dan Timbalan Pengarah Pengurusan Maritim Negeri Terengganu, Mohd Mufsi Lat mengetuai senarai 149 individu penerima Pingat-Pingat Kebesaran Negeri Sempena Hari Keputeraan ke-62 Ke Bawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Terengganu, hari ini.

Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin berkenan mengurniakan Pingat-Pingat Kebesaran Negeri kepada 149 individu berkenaan.

Pada istiadat itu, seramai dua penerima dikurniakan Pingat Jasa Cemerlang (PJC), 133 individu menerima Pingat Jasa Kebaktian (PJK), tiga penerima Bintang Lama Berjawatan (BLB) dan 11 penerima Pingat Lama Berjawatan (PLB).

Pengurniaan disempurnakan dalam Istiadat Pengurniaan Pingat-Pingat Kebesaran Negeri di Balairong Seri, Istana Syarqiyyah.

Terdahulu, keberangkatan tiba Baginda diiringi Sultanah Terengganu, Sultanah Nur Zahirah, Yang Di-Pertuan Muda Terengganu serta Yang Amat Mulia Paduka anakanda-anakanda Sultan Terengganu ; Yang Amat Mulia Tengku Sri Mahkota Raja dan Yang Amat Mulia Tengku Puteri Daulath Raja.

Ketibaan tiba baginda disambut Menteri Besar, Dato’ Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar, Ahli-Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri serta pegawai-pegawai tinggi kerajaan negeri.

Majlis yang bermula pada pukul 10.30 pagi itu berakhir sekitar jam 12.00 tengahari, dengan jangka masa selama satu jam tiga puluh minit program berlangsung.

Untuk rekod, darjah kebesaran, bintang dan pingat negeri Terengganu dikurniakan oleh Sultan Terengganu kepada mereka yang telah menyumbangkan jasa kepada masyarakat dan negeri Terengganu.

 

 

 

 


Tag: