• 18 Mei 2024 | 10 Zulkaedah 1445

Tomislav Gusar Serangan Sang Penyu Masih Tumpul

KUALA NERUS, 4 Mei - Pengendali Terengganu FC, Tomislav Steinbruckner menyifatkan aksi terakhir pramusim menentang Kelantan Darul Naim FC, malam tadi bukanlah 'permainan sebenar' pasukannya.

"Ini bukan yang saya jangkakan, saya tidak tahu apa alasannya kerana kita tidak bermain sepertimana kita boleh dan biasa bermain. Apa yang berlaku kepada Akhyar semalam juga (mungkin mengganggu) dan segalanya kelihatan tidak seperti biasa.

"Sebelum perlawanan, saya bertanya kepada pemain adakah semuanya baik, mereka mengiyakan tetapi apa yang kita lihat dalam perlawanan, ia sebaliknya," luah jurulatih kelahiran Croatia itu.

Pada perlawanan di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin (SSMZA) yang berkesudahan seri 0-0 itu, Sang Penyu dilihat masih tumpul di hadapan gawang , lebih-lebih lagi tanpa kehadiran penyerang utama, Ivan Mamut yang dilanda kecederaan.

"Separuh masa pertama, kami mengawal permainan dengan lebih banyak peluang, kami pasukan yang lebih baik tetapi bermain terlalu lembut.

"Selepas itu saya melakukan pertukaran lebih awal untuk mendapatkan tenaga baru tetapi saya tidak dapat apa yang dimahukan, hanya ia keputusan yang baik kerana kami tidak melepaskan gol tetapi, sekali lagi kami mempunyai masalah untuk menjaringkan gol.

"Kami mengalami masalah tanpa kualiti tambahan, saya jangkakan apabila Ivan kembali selepas kecederaan dalam beberapa minggu, akhyar dan Azam Azmi untuk lebih serangan, saya harapkan permainan lebih baik kerana hari ini saya tidak boleh berpuas hati.

"Saya akan cuba mencari sebabnya kerana kami bermain lebih baik menentang Sri Pahang FC dan mengawal permainan walaupun mereka lawan yang baik, hari ini kami banyak peluang tetapi tidak menguasai perlawanan," katanya lagi.

Dalam pada itu, beliau turut berharap pemain sayap, Akhyar Rashid yang cedera disamun, Khamis lalu dapat kembali dengan keadaan dan mental yang lebih baik kepada pasukan.

"Sesuatu yang tidak dapat membunuh kamu akan menjadikan kamu lebih kuat, itu pesanan saya kepada pemain dan saya harap Akhyar akan kembali lebih kuat daripada sebelum ini.

"Saya tidak tahu banyak tentangnya, saya harap dia akan kembali segera cuma saya tidak betigu tahu bagaimana tahap kecederaannya, tetapi untuk sistem serangan dia penting pada masa ini. 

"Saya tidak mahu terlalu mengganggunya tetapi dia tahu kami semua, pemain, pengurusan dan penyokong sentiasa bersamanya," katanya.

 

 


Tag: