KUALA TERENGGANU, 25 Ogos – Seramai 1,545 atlet dari lapan daerah bakal berentap untuk Sukan Negeri Terengganu (SUTERA) yang akan diadakan pada 5 hingga 9 September ini bagi mengekalkan prestasi Terengganu sebagai negeri kuasa sukan utama di negara ini.
Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Sukan, Belia dan Badan Bukan Kerajaan (NGO) negeri, Wan Sukairi Wan Abdullah berkata ia berkonsepkan sukan untuk semua, melibatkan atlet pelapis (had umur) dan juga atlet elit (terbuka) di Terengganu.
Katanya, sukan ini terbuka hanya terbuka kepada rakyat negeri Terengganu sahaja atau yang bermastautin di negeri ini serta penganjuran SUTERA yang diadakan secara dwi tahunan dan berselang seli dengan penganjuran Sukan Malaysia(SUKMA) turut menawarkan hadiah keseluruhan berjumlah RM132,000.
“SUTERA merupakan sukan yang julung kali diadakan di Terengganu dan ia akan berlangsung pada 5 hingga 9 September di Kompleks Sukan Negeri , Gong Badak selama empat hari.
“Juara pasukan keseluruhan akan membawa pulang wang berjumlah RM70,000 dan naib juara sebanyak RM45,000 manakala tempat ketiga sebanyak RM15,000.Bagi Olahragawan dan olahragawati pula akan menerima RM1,000 hadiah kemenangan setiap seorang .“ katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita di sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Induk Kali Kedua Sutera 2019 di Wisma Darul Iman, di sini hari ini.
Turut hadir Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Sukan, Belia dan Badan Bukan Kerajaan (NGO) negeri, Hishamuddin Abdul Karim dan Pengarah Majlis Sukan Negeri Terengganu (MSNT), Ibni Amin Busu.
Menurut beliau, terdapat 13 acara sukan yang akan dipertandingkan dalam SUTERA 2019 yang mana tujuh daripadanya adalah acara wajib dan enam lagi merupakan acara pilihan daerah-daerah yang telah dipersetujui.
Tambahnya lagi, SUTERA bakal menghidupkan kembali peranan Majlis Sukan Daerah yang sudah lama menyepi dengan penganjurannya termasuk menjadi medium bagi mengaktifkan atlet yang berusia 21 tahun ke atas menggunakan platform SUTERA untuk meneruskan karier mereka.
“Dalam pada masa yang sama, kita mahu membentuk masyarakat yang aktif , sihat, berdisiplin dan bersatu padu di kalangan rakyat dimana kita mensasarkan SUTERA 2019 sebagai satu platform kepada para belia atau remaja dengan menjadikan sukan sebagai satu kaedah yang terbaik bukan sahaja mengisi masa mereka tetapi boleh dijadikan impian ataupun mengejar cita-cita kerana kita tahu sukan pada hari ini bukan sekadar hobi tetapi boleh dijadikan karier untuk masa depan masing-masing,” ujarnya.