Oleh : Hailmey Mansor
KUALA NERUS, 16 Mac - Hampir 60 belia dan beliawanis Seberang Takir menyahut cabaran memupuk gaya hidup sihat sambil menikmati panorama indah apabila bersepakat memanjat Bukit Maras dalam program 'Jom Khabak Bukit Maras', pagi tadi.
Pegawai Penyelaras Dewan Undangan Negeri (DUN) Seberang Takir, Haji Mohd Fazil Wahab berkata, program itu berjaya membuktikan orang muda bukan sekadar bijak dan leka bermain gajet semata-mata.
Katanya, pada masa yang sama mereka juga boleh melakukan aktiviti yang berfaedah dan melupakan alat komunikasi itu apabila beriadah bersama rakan sebaya.
"Kita mahukan para pemuda dan pemudi sesekali tidak menghiraukan dunia gajet mereka dan menikmati keindahan alam semula jadi.
"Pada pada masa yang sama, mereka boleh menyihatkan tubuh badan melalui aktiviti berfaedah ini," katanya ketika ditemui sejurus aktiviti itu.
Turut bersama dalam aktiviti itu, Penolong Penyelia i-MiTS Seberang Takir, Jamaliah Abdullah dan kakitangan i-MiTS.
Mohd Fazil yang juga Ketua Penyelaras Pemuda DUN Seberang Takir berkata, program bermula seawal jam 7 pagi dan berakhir dua jam kemudian itu anjuran bersama Pejabat Penyelaras DUN, Institut Modal Insan Terengganu Sejahtera (i-MiTS), Pemuda dan Ameerah DUN Seberang Takir.