Berita :
76 Murid Khatam Al-Quran, Bukti Komitmen Guru Al-Quran DUN Jabi Berjaya
76 Murid Khatam Al-Quran, Bukti Komitmen Guru Al-Quran DUN Jabi Berjaya
Hidayah Azlin
11 jam yang lepas
75

SETIU, 4 Jun – Seramai 76 orang murid diraikan dalam suasana penuh kesyukuran selepas berjaya menamatkan bacaan suci Al-Quran pada Majlis Khatam Quran Perdana Dewan Undangan Negeri (DUN) Jabi 2026, yang berlangsung pagi tadi.

Majlis itu dikelola sepenuhnya di bawah seliaan Yayasan Islam Terengganu (YIT).

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jabi, Dato’ Dr. Azman Ibrahim berkata, kejayaan program tersebut menjadi bukti jelas betapa pentingnya peranan dan pengorbanan para guru Al-Quran dalam membentuk ekosistem masyarakat yang celik kalam Allah.


Beliau memetik sepotong ayat suci daripada Surah Al-Israa’ (Ayat 82) yang menegaskan bahawa Al-Quran diturunkan sebagai ubat penawar dan rahmat yang mendalam bagi sekalian orang-orang yang beriman. 

"Dan Kami turunkan dengan beransur-ansur dari Al-Quran Ayat-ayat suci yang menjadi ubat penawar dan rahmat bagi orang-orang yang beriman, dan Al-Quran tidak menambahkan orang-orang yang zalim melainkan kerugian jua," jelas beliau. 

Menurut Dr. Azman, sumbangan golongan pendidik ini dalam masyarakat sememangnya tidak dapat dinafikan lagi kerana mereka adalah benteng utama dalam memelihara kesucian bacaan kitab suci tersebut.

"Mereka (guru-guru Al-Quran) terus bertugas tanpa jemu bagi memastikan Kitab Allah dibaca dengan hukum tajwid yang betul. Bukan sekadar itu, malah mereka turut memastikan intipati dan maknanya dapat dihayati dalam kehidupan seharian," katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Majlis Khatam Al-Quran di Masjid Jabi, di sini.

Majlis yang berjalan lancar pada sebelah pagi itu menonjolkan komitmen berterusan kerajaan negeri dan agensi terlibat seperti Yayasan Islam Terengganu dalam memartabatkan pendidikan Islam di peringkat akar umbi.


Kejayaan 76 murid ini diharapkan menjadi pemangkin semangat kepada lebih ramai generasi muda di DUN Jabi untuk terus mendampingi, membaca, dan mengamalkan ajaran Al-Quran secara konsisten.


Tag :

Ketupat

Artikel Berkaitan