ADUN Buluh Gading Rai 96 Pelajar Cemerlang

KUALA NERUS, 28 Julai - Seramai 96 orang pelajar berprestasi cemerlang dalam peperiksaan awam tahun 2020 di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Buluh Gading tetap disambut di kediaman masing-masing atas hasil prestasi terbaik.

Ahli Dewan Undangan Negerinya (ADUN), Ridzuan Hashim berkata, antara yang dirai adalah seramai 13 orang pelajar Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang meraih keputusan semua A, membawa pulang cenderahati, sijil penghargaan dan saguhati wang tunai.

“Selain itu, seorang pelajar berjaya memperoleh keputusan Purata Nilai Gred Keseluruhan (PNGK) 4.00 atau juga digelar '4 flat' dalam Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) dan tiga orang pelajar mendapat keputusan ‘mumtaz’ dalam peperiksaan Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) 2020.

“Kebiasaannya kita anjurkan majlis anugerah kecemerlangan untuk mereka di dewan, tetapi memandangkan Prosedur Operasi Standard (SOP) sekarang ini tidak membenarkan sebarang majlis diadakan, maka kita hantar anugerah kepada mereka.

“Inilah yang kita harapkan, pembangunan modal insan yang berjaya akan melahirkan insan yang berkualiti dari pelbagai segi,” ujar beliau selepas selesai mengagihkan anugerah kecemerlangan, semalam.

Beliau yang juga Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Insan, Dakwah dan Penerangan negeri mendoakan agar semua pelajar berjaya dengan cemerlang dalam apa jua aliran dan bidang yang diceburi nanti.

“Sangat seronok mendengar mereka bercerita tentang tawaran melanjutkan pelajaran yang mereka perolehi ketika ini.

“Seluruh ibubapa dan warga DUN Buluh Gading sangat berbangga dengan pencapaian cemerlang mereka semua,” katanya lagi.