ADUN Kota Putera Sedia Bot Bantu Nelayan Musim Tengkujuh

BESUT, 26 Oktober - Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Putera, Mohd Nurkhuzaini Ab Rahman menyediakan bot bersaiz 32 kaki dengan enjin 300 kuasa kuda bagi membantu nelayan menjelang musim tengkujuh.

Katanya, sebelum ini beliau mendapat aduan daripada para nelayan yang tidak dapat mencari rezeki kerana jentera (bot) mereka kecil dan tidak mampu beroperasi apabila musim tengkujuh tiba.

“Kalau di Terengganu, musim tengkujuh bermula dari bulan November hingga Februari.

“Pada waktu itu, para nelayan terutama nelayan di laut dan pesisir pantai tidak dapat keluar menangkap ikan dan ianya menjejaskan pendapatan mereka pada tempoh itu. 

"Lantaran itu, satu inisiatif daripada Koperasi Kota Putera adalah membeli sebuah bot untuk diguna pakai secara berjadual  kepada nelayan yang berminat sahaja. Kelebihan kepada nelayan kerana bot itu boleh digunakan secara percuma sahaja," ujarnya dalam pertemuan bersama nelayan di Kampung Benting Lintang.

Sementara itu, Pengerusi Persatuan Nelayan Kampung Benting Lintang yang lebih dikenali sebagai "Pak Dor" ketika ditemui mengucapkan terima kasih kepada ADUN Kota Putera di atas bantuan yang diberikan kepada golongan nelayan.

“Bantuan sebegini amat bermakna buat kami yang tidak dapat ke laut menangkap ikan dalam tempoh empat bulan itu,” ujarnya.