Ahmad Razif Kekal MB Terengganu


PILIHAN Raya Umum ke 14 (PRU14) bakal diadakan dalam masa terdekat. Negeri Terengganu yang dipimpin Menteri Besar, Dato’ Seri Ahmad Razif Abd Rahman telah lama berada dalam keadaan bersiap sedia. Pasukan beliau yang mantap digeruni pihak lawan.

Pembangkang di negeri tersebut sedang berusaha merosakkan momentum pasukan MB Razif dengan membuat berbagai-bagai khabar angin untuk melaga-lagakan kepimpinan UMNO Terengganu.

Mereka membuat cerita kononnya MB Razif bakal bertanding kerusi Parlimen. Malah pembangkang memetik nama Shabery Cheek sebagai calon MB.

Tindakan tersebut dilakukan apabila usaha mereka menabur fitnah dan tohmahan memburuk-burukkan projek Taman Ilmu dan Bas Amphibia menemui jalan buntu. MB Razif berjaya melalui pelbagai persepsi jahat di zaman digital ini. Sebagai MB yang mesra media sosial maka sgala persepsi fitnah dapat diuruskan dengan baik.

Dalam perkara ini, kewibawaan Ahmad Razif perlu dipuji. Beliau langsung tidak tergugat. Misi MB Razif hanya fokus terus kepada rakyat negeri yang kaya dengan hasil minyak tersebut. Sememangnya rakyat Terengganu amat beruntung mendapat MB yang sangat tinggi komitmen terhadap mereka.

Kejayaan Ekspo Terengganu 2018 baru-baru ini yang mencatatkan pengunjung yang sangat tinggi membuktikan kejayaan beliau sebagai MB Terengganu. Ekspo tersebut mendapat pujian Datuk Seri Najib Razak yang memberi markah tertinggi kepada kerajaan negeri.

Perdana Menteri berkata, jumlah pengunjung yang di luar jangkaan dan kandungan paparan yang dipersembahkan kepada rakyat serta kejayaan ekspo itu menyuntik rangsangan dan inspirasi melayakkan kerajaan Terengganu selaku penganjur diberi markah tertinggi.

Beliau mengakui turut teruja dan bersemangat melihat kejayaan Ekspo Terengganu yang mendapat sambutan luar biasa, dengan menyaksikan 45 peratus daripada keseluruhan lebih 1.25 juta rakyat Terengganu melawat ekspo itu untuk mendapatkan pelbagai maklumat kejayaan kerajaan mentadbir negeri ini.

Menjadi lumrah pembangkang akan cuba merosakkan imej dan gambaran terbaik Ahmad Razif namun menjadi tanggungjawab kepimpinan dalam UMNO Terengganu sendiri juga untuk memastikan segala usaha pembangkang tersebut gagal. Ingatlah, Bersatu Kita Teguh, Bercerai Kita Roboh.

- pru14.tv

Tag: