Ahmad Zahid Arah Pihak Berkuasa Pantau Lokasi Tanah Runtuh

HULU TERENGGANU, 30 November - Kerajaan Persekutuan mengarahkan pihak berkuasa meninjau lokasi di kawasan cerun atau lereng bukit serta gunung yang berisiko berlaku tanah runtuh.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, langkah itu bagi memastikan insiden tanah runtuh yang berlaku di Kampung Bukit Apit tidak berulang lagi. 

"Oleh kerana soal tanah runtuh ini di bawah Jabatan Mineral dan Geosains Malaysia (JMG), kita akan menghantar pasukan daripada jabatan itu untuk ke lokasi.

"Ini adalah kerana kita melihat laluan air bawah tanah yang dikhuatiri akan menyebabkan runtuhan selanjutnya berlaku," ujarnya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menziarahi keluarga mangsa tanah runtuh di Kampung Bukit Apit di sini hari ini.

Ahmad Zahid turut menyampaikan sumbangan kepada ibu mangsa, Ruziah Fuad, 46, yang kini menetap di rumah sewa baharu yang  disediakan oleh kerajaan negeri di kawasan berhampiran.

Terdahulu beliau meluangkan masa meninjau lokasi berlakunya runtuhan bersama beberapa agensi dan jabatan kerajaan.

Turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Utiliti dan Pembangunan Luar Bandar negeri Terengganu (Pengurusan Bencana), Hanafiah Mat dan Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Perpaduan Nasional Terengganu Maliaman Kassim.

Ahmad Zahid yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Pusat juga berharap orang ramai yang mempunyai kediaman atau tinggal di kawasan cerun atau di kawasan lereng bukit atau gunung supaya lebih berhati-hati terutamanya dalam musim Monsun Timur Laut ini.

"Dan saya merasakan bahawa semua pihak harus bersiap-siaga kerana keadaan MTL ini pada 2024 lebih buruk daripada 2014.

"Ia bukan hanya berlaku di negeri-negeri Pantai Timur, tapi juga berlaku di sembilan negeri, ertinya ia disebabkan pemanasan global dan juga 'climate change'... maka semua kemungkinan boleh berlaku," katanya.


Tag: