KUALA NERUS, 19 September- Pelumba kelahiran Bukit Payong, Md Danish Aiman Zamrul, 15, mengekalkan kedudukan teratas keseluruhan apabila memenangi saingan pusingan keempat Kejuaraan Malaysia Cub Prix PETRONAS di Litar Permotoran Terengganu, hari ini.
Pelumba pasukan MH Racing itu muncul pelumba terpantas pada perlumbaan akhir kelas PETRONAS Super Series dengan catatan 9 minit 52.767 saat.
Beraksi di 'kampung' sendiri, Aiman membuktikan kesungguhan untuk terus menguasai podium selepas kejayaan di pusingan pertama dan ketiga, baru-baru ini.
"Saya sebenarnya berdebar beraksi di litar ini sebab 'hometown', tetapi saya bangga dapat juara di sini.
"Kemenangan ini memberi lebih semangat buat saya. Impian saya adalah untuk menjadi juara keseluruhan tahun ini bagi memperbaiki persembahan musim lalu," katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI), selepas perlumbaan hari ini.
Bapanya, Zamrul Hamid menyifatkan keberanian Aiman pada musim kedua di Cub Prix semakin meningkat.
"Tahun ini, alhamdulillah. Kemahiran, semangat dia semakin tinggi. Semoga dia boleh mencipta kejayaan musim ini," katanya.
Aiman kini mendahului carta perlumbaan kelas PETRONAS Super Series dengan 85 mata keseluruhan.