Asri bersama hadiah yang dimenangi pada Kejohanan Kuda Lasak Piala Menteri Besar (MB) Terengganu. |
Asri, 35, menamatkan perlumbaan sejauh 80km itu dalam masa 3 jam 53 minit 40 saat dengan purata kelajuan 20.542km/j, sekali gus membawa pulang wang tunai RM3,500 beserta piala pusingan, piala iringan, sijil dan sebuah televisyen LED 32 inci.
Gelaran naib juara yang memenangi RM3,000, piala iringan, sijil dan topi keledar menjadi milik Azizatul Asma Dato’ Abdullah, yang mencatat 3:53:41 dengan purata kelajuan 20.541km/j.
Mohd Yusran Yusuf terpaksa berpuas hati di tempat ketiga dengan masa 4:14:05 dan purata kelajuan 18.891km/j untuk memenangi RM2,500, piala iringan, sijil dan topi keledar.
Mohd Yusran Yusuf terpaksa berpuas hati di tempat ketiga dengan masa 4:14:05 dan purata kelajuan 18.891km/j untuk memenangi RM2,500, piala iringan, sijil dan topi keledar.
Kategori berpasukan turut menyaksikan penguasaan RTES yang dibarisi Asri Abd Aziz, Muhammad Irfan Iskandar Mohd Zaki, Muhammad Zulhaqim Zulkifli, Anfal Insyirah Abu Talib dan Mohd Yunus Abdullah untuk muncul juara.
Penyampaian hadiah kepada pemenang disempurnakan Menteri Besar, Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar di TIEP, Lembah Bidong, hari ini.
Turut hadir, Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri, Yahaya Ali, Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato' A. Rahman Yahya serta Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan NGO negeri, Wan Sukairi Wan Abdullah.
Kejohanan edisi ketiga itu disertai 90 peserta lelaki dan wanita dari dalam dan luar negara.
Sementara itu, Asri ketika ditemui pemberita bersyukur bergelar juara memandangkan hanya mendapat naib johan dua tahun lalu.
Pemuda yang telah berkecimpung dengan dunia kuda lasak kira-kira 10 tahun itu juga tidak menyangka dapat memenangi pertandingan tersebut kerana perbezaan masa dengan pemenang tempat kedua, Azizatul Asma terlalu tipis iaitu 0.01 saat.
“Tidak sangka dapat menang kerana kuda kami sama-sama laju, beza pun sedikit sangat, mungkin ini rezeki saya.
“Syukur juga kerana kuda, Moorea Font Noire memberi kerjasama yang bagus dan membantu saya menamatkan kejohanan ini dengan baik,” ujarnya.