KUALA TERENGGANU, 15 Mei - Bila bercerita soal makanan di bulan Ramadan, anda pastinya teruja untuk mencuba makanan yang sedang 'viral' terutama yang mempunyai rasa yang unik.
Kali ini kami kongsikan, menu untuk mereka yang gemar kepedasan dengan citarasa Indonesia dan Malaysia yang terletak di Bazar Ramadan Syahbandar.
Pengusahanya, Zulkalmul Hakem Mat Zin, 30, berkata idea untuk membawanya masuk ke Terengganu timbul apabila melihat sambutannya ketika berkunjung ke sebuah kedai yang terkenal dengan sajian ini di Kuala Lumpur.
"Sejak mencubanya di salah sebuah kedai yang menjual menu ini di Kuala Lumpur, saya terfikir mengapa saya tidak bawa masakan ini ke Terengganu yang rata-rata penduduknya suka makan pedas.
"Dan dari situ saya mula belajar bagaimana memasaknya dari seorang kenalan di Indonesia dan mengolahnya dengan gabungan resepi dua negara," ujarnya.
Ketika ditanya rahsia keenakan ayam gepuknya, beliau yang juga pemilik Restoran Singgang Budu itu berkata, ia terpulang pada cara pemprosesan pemerapan ayam dengan rempah ratus yang bermula sehari sebelum dan pagi keesokannya barulah ia direbus sebelum digoreng panas di bazar dan yang pasti sambal ayam gepuk adalah menu penting dalam penyediaan makanan ini.
“Kelainan sambal ini terletak pada tahap kepedasannya. Pengunjung boleh memilih sendiri tahap kepedasan yang diinginkan sama ada tahap biasa, sederhana atau paling pedas.
“Bagi yang pertama kali hendak cuba ayam gepuk ini, saya sarankan supaya pelanggan mula dengan tahap lima terlebih dulu. Bagaimanapun, jika mahu pedas lagi boleh tambah kemudian,” katanya.
Mana tidaknya, lebih 20 kilogram cili padi digunakan setiap hari dan cili digiling dengan begitu teliti bagi memastikan ia hancur dan sebati bersama bahan lain seperti bawang putih, kacang, garam dan gula.
Lebih istimewa, bahan-bahan tersebut digiling secara tradisional dengan menggunakan batu giling yang sering digunakan pada masa dahulu.
Dengan dibantu 14 pekerja, bapa kepada dua orang anak ini mampu menjual 300 hingga 400 ekor ayam sehari dengan pembelian mengikut set lengkap antara RM8.90 hingga RM10.90 mengikut pilihan citarasa dan mampu menjana pendapatan lumayan mencecah RM6,000 sehari.
Menurutnya, harga makanannya juga berpatutan dan rasa yang enak bak kata orang ramai dengan cukup segala rasa yang diinginkan.
"Malah, pelanggan digalakkan datang awal untuk menikmati keenakan rasa hidangan ini. Kalau lambat, memang cepat habis.
"Pasti ramai yang sudah mencubanya dan rata-rata pelanggan mengakui rasa pedasnya memang ummph! hingga berpeluh satu badan," kata Zulkalmul lagi.