BESUT, 21 Jun- Keprihatinan kerajaan negeri dalam memacu ekonomi rakyat terus diterjemahkan menerusi pemberian bantuan peralatan perniagaan secara terus kepada usahawan tempatan bagi mengembangkan perusahaan mereka.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jabi, YB Dato’ Dr. Azman Ibrahim bersama kakitangan Institut Modal Insan Terengganu Sejahtera (IMITS) telah turun padang bagi menyerahkan sendiri sumbangan sebuah mesin jahit kepada seorang pengusaha bengkel jahitan, Tuan Nor Zaleha Tuan Abdullah, 45.
Walaupun berasal dari Jabi, usahawan wanita itu kini menetap di Kampung Tembila, dalam kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kota Putera, dan telah membuka bengkel jahitannya di kampung tersebut.
Menurut Dato’ Dr. Azman, kehadiran beliau bersama kakitangan IMITS untuk menghantar sendiri bantuan tersebut adalah bagi memastikan sokongan moral dapat diberikan secara langsung, selain mengharapkan ia dapat meningkatkan produktiviti perniagaan Cik Ha dalam menjana pendapatan yang lebih stabil.

"Mesin jahit untuk Cik Ha, rakyat Jabi yang menetap di Kg Tembila dalam DUN Kota Putera dan membuka bengkel jahitan di sini," katanya.
Difahamkan, bengkel jahitan milik Tuan Nor Zaleha kini sedia menerima pelbagai tempahan menjahit pakaian wanita daripada penduduk sekitar mahupun pelanggan luar.
Inisiatif dan komitmen yang ditunjukkan ini membuktikan kesungguhan dalam memastikan kebajikan serta kelangsungan ekonomi anak jati Terengganu terus terbela, sekali gus memperkasakan sektor perniagaan mikro di peringkat komuniti.
Tag :