'Bertudung Jangan Melampaui Batas'

KUALA TERENGGANU, 13 Februari – Para wanita diingatkan agar memakai hijab yang tidak melangkaui batas ditetapkan syarak baik dalam kehidupan sosial, berkerjaya dan urusan lain.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Wanita Terengganu, Zuraida Md Noor berkata, golongan ibu tidak seharusnya menunjukkan perhiasan diri semata-mata untuk dipuji.

“Hijab itu feminin dengan menepati fitrah semula jadi wanita dan lambang ketegasan individu terhadap keselamatan diri sendiri dari diratah mata-mata yang keranjang. 

“Hijab menjaga komuniti wanita seluruhnya apabila tiada yang terdedah dan semua menjaga hak untuk tidak mendedah auratnya,” jelasnya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan program Terengganu Hijab Day 2022 di Perpustakaan Awam Terengganu, pada semalam.

Justeru itu, beliau menyeru kepada semua pihak agar menghayati maksud berhijab yang lebih menyeluruh, agar menepati kehendak syarak seterusnya seluruh masyarakat dapat menikmati kesan hikmah pensyariatan hijab ini.

“Saranan saya kepada semua wanita agar mempelajari, memahami seterusnya mengikuti konsep berhijab yang dikehendaki syarak. Wanita Islam perlu berhati-hati dalam memilih pakaian dan tudung memandangkan terdapat fesyen yang pada zahirnya nampak Islamik tetapi sebenarnya tidak menepati kehendak syarak dan maksud menutup aurat.

“Begitu juga, jangan memakai tudung tetapi pada masa yang sama mengenakan pakaian yang sendat, baju lengan pendek, kain berbelah, seluar yang masih menampakkan bahagian aurat. Kerana cara demikian tidak menepati hukum menutup aurat. Wanita-wanita jahiliyyah dikatakan memakai pakaian tetapi masih berbogel kerana nipisnya dan terdedah juga,” tegas beliau lagi.


Tag: