'Buskers' Lega Terima Bantuan Kerajaan Terengganu, Sokong Usaha Tambah Baik
KUALA TERENGGANU, 26 Mac- Persatuan Buskers Terengganu berterima kasih kepada kerajaan negeri atas inisiatif menyampaikan sumbangan wang tunai sebagai bantuan kepada penghibur jalanan yang terjejas dengan larangan aktiviti 'busking' sepanjang 10 malam terakhir Ramadan.
Dalam pertemuan bersama kerajaan Terengganu diwakili Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Kesihatan negeri, Dato' Wan Sukairi Wan Abdullah itu, bantuan berjumlah RM600 disampaikan kepada sekitar 30 'buskers' yang hadir.
Setiausaha agung persatuan, Mohd Fazli A Rahman berkata, insentif 'one-off ' berkenaan amat dihargai kerana dapat membantu mengurangkan beban mereka terutama bagi yang melakukan aktiviti 'busking' secara sepenuh masa.
"Kami semua bersyukur kepada kerajaan negeri kerana telah memberi bantuan untuk menampung perbelanjaan kita yang tidak lagi boleh 'busking' (pada bulan Ramadan).
"Ada beberapa perkara yang kita beritahu kepada Yang Berhormat (YB) exco supaya jangan pukul rata dalam isu-isu berkaitan serta tidak bertindak secara drastik pada masa akan datang supaya kita boleh atur untuk buat benda lain selain 'busking'.
"Kita juga akan menyokong penuh apa yang akan dibuat kerajaan negeri, cuma kita akan lihat apa yang ingin dibuat menerusi sesi libat urus yang dicadangkan selepas ini," katanya ketika ditemui Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI) selepas pertemuan di Wisma Darul Iman, hari ini.
Tambahnya, komunikasi dua hala antara persatuan dan kerajaan negeri akan terus dijalinkan selepas ini dalam penambahbaikan aktiviti 'busking'.
"Bagi kita juga, untuk 'buskers' di negeri Terengganu kami tidak memaksa mereka untuk sertai persatuan, tetapi kami berikan kelonggaran jika rasa ada sesuatu yang kita (persatuan) boleh bantu, sertailah kami.
"Kita tidak mahu situasi ini berulang. Apa yang berlaku sekarang ini, memang mereka yang tidak bernaung di bawah kita yang menjadi (punca) masalahnya. Ini kerana, kekurangan informasi, apa-apa maklumat dia tidak terima.
Sedangkan, kita sesama ahli sering berhubung dalam menyediakan tema, genre lagu ketika bulan Ramadan atau pada hari biasa, ada tema yang kita tetapkan kepada ahli kita.
"Jadi yang bukan ahli ini dari segi penerimaan itu agak kurang," katanya.