Carilah Ilmu Di Awal Usia - Alias Harun


Oleh: Nooreni Abu Bakar

DUNGUN, 27 April - Setiap cabang ilmu yang bermanfaat mestilah dipelajari di usia seawal mungkin kerana ianya akan membantu masyarakat berhadapan dengan situasi yang tidak diduga.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rantau Abang, Alias Harun berkata, anggapan bahawa ilmu agama hanya perlu dipelajari ketika usia menjangkau dewasa adalah salah.

"Macam haji, ada dalam sukatan pelajaran, tetapi hanya untuk peperiksaan bukan hendak menghayati. Bila dah tua, hendak pergi haji, barulah hendak belajar, ini tidak sepatutnya menjadi amalan," tegur beliau.


Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Kursus Asas Pengurusan Jenazah di Sekolah Menengah Kebangsaan Pulau Serai, di sini kelmarin.

Tambahnya, pengurusan jenazah ini adalah fardhu kifayah, kalau seorang dapat uruskan, maka selesailah tanggungjawab dalam satu qaryah.

"Tetapi kalau tiada seorang pun menguruskannya, maka menjadi fardhu ain untuk menyelesaikannya, jadi sebagai ahli keluarga ini menjadi tuntutan," jelasnya lagi.

Beliau memuji usaha pihak penganjur iaitu Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) sekolah berkenaan dan Institut Modal Insan Terengganu Sejahtera (i-MiTS) Dewan Undangan Negeri (DUN) Rantau Abang yang memberi pendedahan kepada pelajar tentang asas pengurusan jenazah.

Kursus tersebut dikendalikan oleh Ustaz Othman Endut.

Tag: