Dua Gol Kipree Rentap Ego Sang Juara

Foto oleh - Media TFC.

KUALA TERENGGANU, 8 Ogos –
Beraksi dengan 10 pemain tidak menghalang Terengganu Football Club (TFC) untuk menewaskan Juara Piala FA, Kedah 2-0 pada aksi kumpulan A Piala Malaysia di Stadium Darul Aman, sebentar tadi.

Kekurangan pemain selepas penjaga gol, Ilham Amirullah diperintah keluar padang berikutan mengutip kad merah pada masa tambahan separuh masa pertama tidak menghalang TFC menjaringkan dua gol menerusi Tcheche Kipree.

Pada awal saingan separuh masa pertama, penonton disajikan aksi berbalas serangan kedua-dua pasukan.

Ia termasuk percubaan Lee Tuck pada minit ke-16 yang dihalang oleh pemain pertahanan Kedah.

Gagal menyudahkan setiap peluang terhidang menyaksikan perlawanan separuh masa pertama berkesudahan dengan jaringan 0-0 .
Ilham diperintah keluar padang setelah melakukan bentesan kepada Farhan Roslan.

Bersambung pada babak kedua, Kedah yang berkelebihan seorang pemain mendominasi keseluruhan permainan.

Meskipun diasak bertubi-tubi sejak awal babak kedua perlawanan, ia langsung tidak mematahkan semangat juang ‘Sang Penyu’ apabila gol pertama hadir pada minit ke-66 selepas sepakan percuma Lee Tuck ditanduk cantik Kipree.

Tersentap dengan jaringan pasukan pelawat, Kedah menggandakan asakan terutamanya melalui penyerang berbisa mereka, Fernando Rodriguez Ortega.

Serangan bertali arus ke kubu pasukan TFC hampir membuahkan hasil namun percubaan Farhan Roslan pada minit ke-70 dinafikan ketangkasan Penjaga Gol Gantian TFC, Wan Azraie.

Kekentalan pertahanan TFC menyaksikan Jurulatih Kedah, Aidil Shahrin terpaksa melakukan pertukaran pemain dengan memasukkan Zaquan Adha dan Mohammad Fayyadh pada minit ke-75 dan 80.

Kemasukkan Fayyadh berjaya menambah bisa serangan Lang Merah apabila gelecekannya hampir memecah kebuntuan, namun bek tengah TFC lebih bersedia menahan rembatan itu.
Wan Azraie yang menggantikan Ilham turut beraksi cemerlang.

TFC yang sesekali melakukan serangan balas melalui Nabil Latpi dan Kipree hampir menambah derita Kedah pada minit ke-82 tetapi berjaya dihalang penjaga gol Kedah.

Namun, pada minit ke-86 kesilapan pertahanan Kedah melenyapkan sorakan penyokong setia Kedah, apabila Kipree sekali lagi memanfaatkan peluang tersebut dengan membuat satu lambungan menarik melemaskan penjaga gol Lang Merah.

Selesa mengatasi dua gol, TFC kental bertahan sehingga wisel penamat sekaligus membolehkan mereka menerajui carta teratas Kumpulan A selepas dua perlawanan.

Sementara itu, Kedah jelas hampa dengan kekalahan mengejut terbabit walaupun beraksi di halaman sendiri dan kelebihan seorang pemain.






Tag: