Para peserta merakamkan kenangan sempena Kejohanan Badminton Tertutup Piala Penyelaras DUN Batu Rakit. |
Oleh: Helmi Abdul Salam
KUALA NERUS, 17 Mac - Dewan Undangan Negeri (DUN) Batu Rakit bersedia menyumbang kepada pembangunan bakat baharu dalam bidang sukan untuk mewakili negeri di pentas lebih tinggi.
Pegawai Penyelarasnya, Mohd Shafizi Ismail berkata, amat penting bagi masyarakat setempat untuk menyokong dan menyertai sebarang pertandingan yang dianjurkan di peringkat DUN demi mencapai hasrat itu.
"Kita akan berusaha menghantar wakil ke peringkat Kawasan dan Negeri bagi sebarang pertandingan sebagai menyokong hasrat kerajaan untuk melahirkan lebih ramai atlet cemerlang," katanya ketika berucap di Kejohanan Badminton Tertutup Piala Pegawai Penyelaras DUN di Dewan Maras, semalam.
Kejohanan berkenaan dianjurkan Institut Modal Insan Sejahtera (i-MiTS) DUN dengan kerjasama Department of Art, Culture and Sports (DACS), sebuah pertubuhan di bawah naungan Dewan Pemuda PAS Kawasan (DPPKS) Setiu dan telah berjaya menarik penyertaan hampir 40 pasangan beregu.
Hadir sama dalam majlis tersebut ialah Penyelia i-MiTS DUN, Mohd Nazari Alias.
Shafizi dalam ucapannya turut menyifatkan amalan bersukan dapat membina kekuatan dan keyakinan dalam diri setiap individu.
“Melalui sukan, kita dapat membina kekuatan minda yang merupakan satu perkara penting dalam diri selain memberi keyakinan dalam menghadapi apa jua situasi, bukan sekadar berada di gelanggang," katanya.
Beliau yang hadir menyampaikan hadiah kepada pemenang turut berpuas hati dengan semua pihak terlibat kerana mengikut saranan kerajaan negeri supaya menutup aurat semasa bersukan.
Dalam kejohanan tersebut, pasangan Sabri/Rahim dan Zamani/Hamdan berjaya menjadi juara bagi kategori Terbuka dan Veteran. Masing-masing membawa pulang hadiah berupa piala pusingan,wang tunai dan medal.