'Durian Jerong' Jadi Buruan


Tarmizi (kiri) bersama Sulaiman Sulong menunjukkan isi 'raja buah' yang menjadi kegilaan pengunjung.

Oleh : Khairan Mat Jusoh

MARANG, 18 Julai - Tatkala tibanya musim durian, lambakan gerai dan kebun ‘raja buah’ dalam daerah ini pastinya akan menjadi buruan pengunjung sehingga ada yang sanggup mengambil cuti kerja.

Pemilik Mizi Agro Farm, Tarmizi Mamat, 31, berkata konsep kutip dan makan durian di kebun yang diperkenalkannya berjaya menarik ramai minat penggemar buah itu dari luar negeri seperti Johor, Kuala Lumpur dan Selangor.

Kata anak muda dari Kampung Jerong Surau itu, kebun berkeluasan 25 ekar  yang diusahakan secara pajak itu telah penuh ditempah pada bulan ini sekaligus memberikan pulangan lumayan buatnya.

“Kebanyakkan daripada pelanggan kita adalah dari jabatan-jabatan kerajaan, dan ada daripada mereka yang khususnya datang dari luar negeri sanggup mengambil cuti hanya semata-mata untuk merasai pengalaman kampung kutip dan makan 'durian Jerong' di dusun ini, jelasnya.

“Alhamdulillah, setakat untuk hari ini, tempahan sudah pun penuh bagi bulan Julai ini dan untuk bulan ogos masih lagi ada beberapa tarikh yang masih kosong,” ujarnya kepada ditemui media selepas menerima kunjungan Adun Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pengkalan Berangan, Sulaiman Sulong, di kebunnya, semalam.

Menurut Tarmizi lagi, dia yang mula mengusahakan kebun secara kecil-kecilan sejak beberapa tahun lalu itu kini telah memiliki lebih 300 pokok durian berkualiti tinggi.

Dalam masa yang sama, dia juga sedang membina sebuah warung berdekatan kebunnya yang menyediakan cendol durian untuk para pengunjung.


“Walaupun bermula secara kecil-kecilan, saya merasa puas kerana sekarang kebun ini dipenuhi pengunjung, pada awal-awal dulu, walaupun kebun masih belum sempurna sepenuhnya, sudah ramai orang yang membuat tempahan.

“Dan apabila adanya gerai cendol nanti, saya yakin kebun ini akan lebih berkembang dan meriah dengan pengungjung-pengunjung,” jelasnya.

Gerai cendol durian yang akan beroperasi dalam masa terdekat.


Tag: