Janaan Hasil Era Dr. Sam Lebih Tinggi Ketimbang MB Terdahulu
KUALA TERENGGANU, 30 Mac – Empat daerah dinobatkan juara bersama Kejohanan Bola Sepak Liga Darul Iman Piala Menteri Besar Terengganu 2019 setelah perlawanan suku akhir yang dijadualkan pada April 2020 tidak dapat dilaksanakan akibat pandemik COVID-19.
Kemenangan itu menyaksikan Persatuan Bola Sepak Daerah Dungun, Kemaman, Setiu dan Besut masing-masing berjaya membawa pulang wang tunai RM4,500.
Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan NGO negeri, Wan Sukairi Wan Abdullah berkata, kejohanan peringkat Dewan Undangan Negeri (DUN) pada tahun 2019 telah bermula seawal Julai dan berakhir November.
“Manakala bagi peringkat parlimen kejohanan ini telah bermula seawal bulan Oktober 2019 dan berakhir pada bulan Februari 2020 sebelum disambung untuk kejohanan di peringkat negeri pada bulan Mac tahun lepas namun terpaksa dibatalkan.
“Untuk makluman semua, pada tahun 2019, Kerajaan Negeri telah membelanjakan sebanyak RM300 ribu bagi membantu pelaksanaan ini bermula di peringkat DUN, Parlimen dan Negeri.
“Jika diizinkan pada tahun 2021 kita akan kembali melaksanakannya namun masih menunggu perkembangan terkini daripada Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Kementerian Belia dan Sukan (KBS),” katanya semasa berucap dalam Majlis Penyampaian Bola Sepak Liga Darul Iman Piala Menteri Besar Terengganu di Paya Bunga Hotel hari ini.
Turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Pertandingan Tempatan Merangkap Naib Presiden Persatuan Bola Sepak Negeri Terengganu, Rashdi Hamat, Pengarah Majlis Sukan Negeri Terengganu, Ahmad Shahrizal Yahaya dan Pengarah Urus Setia Belia, Sukan Dan NGO Terengganu Sejahtera (UBSNT), Mohd Nasir Abdul Razak.
Tambahnya, cadangan tarikh Kejohanan Bola Sepak Liga Darul Iman seterusnya adalah pada bulan Julai 2021 jika kelonggaran diberikan.
Sementara itu, Wan Sukairi turut mengulas mengenai peruntukan RM2 juta melalui Belanjawan 2021 bagi menjayakan program sukan komuniti melibatkan beberapa sukan iaitu bola sepak, sepak takraw, badminton dan bola jaring.
“Berdasarkan potensi dan perkembangan sukan bola sepak yang ada, saya percaya Kerajaan Negeri akan terus memberi sokongan kepada program ini dan lain-lain lagi kejohanan yang dianjurkan. Program ini akan diselaras melalui UBSNT,” jelasnya.