Gong Nangka FC dinobatkan selaku juara kejohanan. |
Oleh : Hidayah Azlin
SETIU, 25 Ogos - Pasukan Gong Nangka FC berjaya merangkul Piala Kejohanan Bola Sepak Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jabi 2019 selepas mengalahkan Jabi United dengan jaringan satu gol tanpa balas, petang semalam.
ADUN Jabi, Dr Azman Ibrahim berkata, semangat kesukanan serta tahap kematangan dan profesional para pemain menjadikan kejohanan ini berjalan dengan lancar apabila mencatatkan sifar kad merah.
“Tidak ada seorang pun pemain yang diarahkan keluar padang berbanding dengan jiran-jiran kita di Daerah Besut yang kejohanan mereka ada tiga atau empat kad merah. Maknanya, pemain-pemain kita bermain dengan semangat kesukanan yang tinggi.
“Saya yakin bahawa setiap pasukan yang bertanding bukan meletakkan hadiah sebagai matlamat utama tetapi semangat kesukanan, ukhwah, pertemuan ikatan antara kita inilah antara fokus dan objektif utama daripada kejohanan ini,” jelasnya ketika berucap pada perlawanan akhir kejohanan berkenaan.
Tambah beliau, Persatuan Pengadil Daerah Besut turut memaklumkan bahawa kejohanan bola sepak ini merupakan pertandingan peringkat kampung yang paling paling teratur pengurusannya.
Dr Azman mahu kejohanan seperti itu terus ditingkatkan kualitinya agar pemain-pemain bintang mampu dilahirkan. |
“Sekalung penghargaan kepada semua pihak yang terlibat termasuk pengurus pasukan, pemain dan semua penyokong yang hadir memeriahkan kejohanan, tanpa anda semua, tiadalah kejohanan ini,” tambahnya.
Dalam pada itu Dr Azman memaklumkan, format kejohanan akan ditambah baik supaya menjadi lebih meriah dengan melibatkan lebih banyak pasukan.
Ujarnya, dalam masa yang sama ia boleh menghidupkan kembali padang-padang bola di seluruh kawasan Jabi.
“Sebelum ini kita hanya tertumpu dengan dua padang sahaja. Dengan kejohanan secara liga divisyen timbal balik ini akan menjadikan ia lebih meriah dan menyeluruh di seluruh Jabi.
“Selain itu, ia mampu diadakan dalam tempoh yang lebih panjang dan anak-anak muda terisi dengan kejohanan yang mengajak kita bersama untuk mengamalkan cara hidup sihat,” katanya lagi.
“Mudah-mudahan kejohanan yang berlangsung tahun ini kita boleh teruskan dengan lebih baik untuk tahun akan datang. Tahniah kepada semua pasukan yang bertanding. Jumpa lagi tahun 2020 dengan format yang lebih baik. Habis duit sikit tidak apa, asalkan anak muda kita gembira,” ujarnya lagi.