Hanya Bongkar Jersi Baru Terengganu FC Selepas Empat Bulan

Jersi baru TFC cantik dan menarik.

KUALA TERENGGANU, 30 Januari - Penciptaan jersi baharu Kelab Bolasepak Terengganu (TFC) hanya dibongkar setelah disimpan selama empat bulan oleh empat individu.

Penyimpan rahsia itu termasuk Timbalan Pengerusi Persatuan Bola Sepak Negeri Terengganu (PBSNT), Hishamuddin Abdul Karim dan tiga individu lain yang tidak ingin didedahkan namanya.


"Semasa saya dibentangkan beberapa 'sample design' (contoh reka bentuk) cadangan untuk jersi TFC, hanya empat orang sahaja yang melihat dan mengetahui reka bentuk tersebut.


"Lama rahsia ini tersimpan. Tidak bocor dan tidak dapat dikesan. Memang jaga sungguh maklumat ini. Tahniah buat anak buah kami yang bekerja dengan bersungguh-sungguh. Saya percaya, empat bulan yang cukup terseksa untuk simpan rahsia jersi ini," jelas Hishamuddin.


Beliau berkata demikian ketika memuat naik kenyataan itu di status Facebooknya semalam.


Katanya, reka bentuk jersi itu dari sudut pandangnya sangat subjektif.


"Lawa di mata kita, belum tentu lawa di mata orang lain. Hodoh di mata kita, belum tentu hodoh di mata orang lain," ujarnya, mengulas lanjut reka bentuk jersi tersebut.


Bagaimanapun katanya, sebaik mungkin ia dilakar reka bentuk yang lebih sesuai, berbeza dengan tahun sebelumnya dan membawa identiti sendiri. Kini ia telah dijual di pasaran.


"Kami minta jasa baik sebuah syarikat perniagaan pakaian sukan (yang menjual jersi tersebut) agar harganya ditetapkan jangan lebih dari RM100, supaya ia mampu dibeli semua pihak," katanya.


Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tepoh berkata, berbaki hanya dua hari sahaja lagi (sehari lagi) untuk sepak mula Liga Super di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah menentang PKNS FC.

Justeru katanya, beliau mengharapkan TFC bersaing dengan sengit dan mencapai kemenangan. Dijangkakan semua pasukan Liga Super 2019 mantap dan sangat berkualiti.

"Banyak pasukan memiliki pemain naturalisasi yang menambah resepi kekuatan jumlah pemain import masing-masing.


"TFC mempertaruhkan anak tempatan sepenuhnya. Hanya berbekalkan lima tonggak pemain import. Tiada pemain naturalisasi," jelasnya lagi.


Katanya, semangat dan jati diri mereka semua dalam perlawanan menentang Vietnam tempoh hari perlu dicontohi.


"Beraksi dengan titik peluh anak tempatan yang gigih. Good luck! Jangan wat barrang awok kiter.


"Saya sudah beli jersi 'home' dan 'away'. Kali ini dua versi ada belaka. 'Support' (sokong) pasukan yang disayangi. Anda sudah (beli)?" soalnya menyudahi kenyataannya di media sosial itu.






Tag: