Hatrik Kipree Benam Negeri Sembilan

Kipree mendedikasikan hatrik pertamanya musim ini untuk Suffian.

KUALA TERENGGANU, 17 Ogos - Terengganu Football Club (TFC) meneruskan momentum kemenangan dalam saingan Piala Malaysia apabila garang menundukkan Negeri Sembilan 3-1 di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah sebentar tadi.

Jaringan Hatrik daripada penyerang berbisa TFC, Tchetche Kipree didedikasikan khas buat penjaga gol pasukan itu, Suffian Abdul Rahman yang meninggal dunia tengah hari tadi.

TFC bermula garang apabila melancarkan serangan seawal minit ke-6 permainan, namun sepakan leret Kipree ditepis keluar penjaga gol Negeri Sembilan, Mohamad Fadzley Abdul Rahim.

Tidak berputus asa, TFC terus melancarkan serangan demi serangan yang hampir membuahkan hasil apabila percubaan Lee Tuck pada minit ke-16 sekali lagi ditangkis Mohamad Fadzley.

Berselang satu minit kemudian, Negeri Sembilan yang hadir untuk memburu mata pertama sesekali mengancam kubu TFC melalui Jose Almir Barros Neto yang berjaya melepasi kawalan pertahan TFC namun digagalkan Serhii Andrieiev.

Perlawanan berlangsung rancak dengan serangan bertali arus pasukan TFC, namun penyudah yang tumpul menghampakan 7,750 penyokong yang hadir ke stadium.
Lee Tuck turut beraksi cemerlang dengan hantaran-hantaran menarik yang manghasilkan gol.

Walau bagaimanapun, tiga minit sebelum permainan separuh masa pertama berakhir, Kipree muncul wira TFC apabila berjaya memecahkan kebuntuan hasil umpanan cantik Sanjar Shaakmedov dalam kotak penalti.

Kipree yang tidak dikawal tenang menyudahkan hantaran itu untuk memastikan TFC mendahului Negeri Sembilan sejurus tamat babak pertama.

Bermula separuh masa kedua, TFC terus garang melancarkan serangan bagi memburu gol kedua, peluang itu hadir pada minit ke-47 hasil gerakan cantik Sanjar dan Rahmat Makasuf namun sepakan Kipree melambung tinggi.

Tersentak dengan serangan itu, Negeri Sembilan menyerang balas, pada minit ke-57 gerakan cantik yang bermula dari bahagian sayap hampir menewaskan Wan Azraie teteapi gagal disudahkan dengan sempurna oleh Danial Hadri apabila sepakan lemahnya diselamatkan.

Rahmat yang beraksi lincah di bahagian sayap kanan TFC sesekali menguji penjaga gawang Negeri Sembilan tetapi aksi cemerlangnya menafikan segala gerakan menarik daripada bahagian itu.
Kemasukkan Malik berjaya mengkucar-kacirkan pertahanan lawan.
Selepas berhempas pulas, gol kedua TFC muncul pada minit ke-56 apabila Kipree bijak melakukan tandukan hasil sepakan sudut Lee Tuck.

Namun, kegembiraan TFC tidak lama, apabila berselang 10 minit kemudian, Negeri Sembilan berjaya merapatkan kedudukan, apabila tandukan cantik Igor Luiz berjaya menewaskan Wan Azraie di penjuru kiri gawang gol.

TFC terus memperkemaskan pasukan dengan memasukkan Abdul Malik pada minit ke-77, dan ia berhasil apabila gerakan Malik berjaya membuatkan pertahanan Negeri Sembilan melakukan beberapa kesilapan mudah.

Hasilnya, lima minit sebelum perlawanan tamat, Kipree tenang melakukan sepakan leret untuk melengkapkan hatriknya apabila berlaku keadaan kucar kacir di dalam kotak penalti Negeri Sembilan.

Kedua-dua pasukan saling memburu jaringan sehingga ke minit-minit terakhir perlawanan dengan keputusan muktamad TFC menang 3-1


Tag: