Ilham cemerlang kawal kubu TFC. Foto: Media TFC. |
KUALA TERENGGANU, 20 Julai - Ketangkasan Ilham Amirullah Razali menampan sepakan penalti penyerang Johor Darul Takzim (JDT), Diogo Luis Santo pada minit ke-90 membantu Terengganu Football Club (TFC) membawa pulang satu mata dalam aksi terakhir Liga Super Malaysia (MSL) 2019, semalam.
Beraksi di gelanggang lawan, TFC bangkit dari ketinggalan dua gol pada separuh masa pertama untuk mencatatkan keputusan seri 3-3 menentang juara Liga Super itu.
Biarpun mendahului tuan rumah pada minit ke-24 hasil rembatan deras Sanjar Shaakhmedov, Sang Penyu terpaksa berhempas-pulas menahan asakan barisan bintang Harimau Selatan sedari awal permainan.
Kepercayaan Nafuzi kepada anak buahnya terbalas. Foto:Media TFC. |
Nafuzi Zain cuba memanfaatkan kehadiran pemain pertahanan TFC 2 yang baru dinaikkan, Serhii Anrdrieiev dalam memperkukuhkan barisan bentengnya.
Bagaimanapun, tuan rumah berjaya memadamkan kelebihan TFC apabila Leandro Velazquez yang menerima umpanan Azrif Nasrulhaq menyamakan kedudukan pada minit ke-31.
Empat minit berselang, pemain kelahiran Terengganu, Safawi Rasid pula meletakkan JDT di hadapan selepas menyempurnakan lorongan Harris Harun dengan rembatan kaki kiri.
Kubu pelawat bocor lagi pada minit akhir separuh masa pertama, kali ini melalui Gonzalo Cabrera yang menewaskan tiga pertahanan TFC sebelum menolak bola leret melepasi penjaga gol.
Keadaan mula berubah di babak kedua dengan TFC mula memperkemas serangan balas bagi mengendurkan ancaman JDT.
Serhii cemerlang dalam aksi pertama bersama TFC. Foto: Media TFC. |
Pada minit ke-65, Serhii membuktikan dirinya layak menyarung jersi skuad 'abang' setelah tandukan kemasnya menerjah gawang lawan.
Adrenalin Sang Penyu mula memuncak dan Harimau mula tampak goyah.
Pemain muda yang semakin meningkat, Rahmat Makasuf memberi harapan kepada TFC apabila dia dijatuhkan di luar kotak penalti lawan pada minit ke-77.
Foto: Media TFC. |
Seminit kemudian, Lee Tuck menyempurnakan harapan pasukan dengan melencongkan bola rendah menggegar gawang lawan.
Bagaimanapun, sebaik permainan kembali dimulakan kapten pasukan itu dilayangkan kad merah kerana mengasari lawan menyebabkan TFC terpaksa berkubu di kawasan sendiri.
JDT terus menyerang, sekalipun dihadiahkan penalti pada akhir perlawanan, Ilham gagah menyempurnakan tugasnya menampan 'tiga mata' dari terhasil di Larkin.
Pemain TFC meraikan penyokong yang hadir ke Larkin. |