Berita :
1,485 Hektar Tanah Terbiar Dimajukan, Manfaatkan 1,063 Petani
1,485 Hektar Tanah Terbiar Dimajukan, Manfaatkan 1,063 Petani
Noraini Jusoh
1 jam yang lepas
67

KUALA TERENGGANU, 22 April – Kerajaan negeri telah mengenalpasti seluas 7,862.38 hektar tanah terbiar di negeri ini mempunyai pemilik pada tahun 2019.

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani, Keterjaminan Makanan dan Komoditi Terengganu, Dato' Dr. Azman Ibrahim memaklumkan, daripada jumlah itu seluas 1,485.68 hektar tanah terbiar berjaya dimajukan dari tahun 2019 hingga 2025 dengan memberi manfaat kepada 1,063 petani. 

Katanya, antara aktiviti yang dilaksanakan melibatkan penyediaan infrastruktur ladang dan juga penanaman tanaman singkat masa serta tanaman jangka panjang.

Menurutnya, disamping peruntukan tanah terbiar Kerajaan Pusat, Kerajaan Negeri juga turut menyediakan insentif bagi pembangunan tanah terbiar. 

“Kerajaan telah melakukan pelbagai usaha untuk membangunkan tanah terbiar yang mempunyai pemilik dengan menyediakan insentif pembangunan tanah terbiar bermula tahun 2008 di dalam Rancangan Malaysia Ke-9 (RMKe-9) sehingga tahun 2020, dalam Rancangan Malaysia Ke-11 (RMKe-11) melibatkan peruntukan persekutuan.

“Kerajaan Negeri juga turut menyediakan insentif bagi pembangunan tanah terbiar bermula tahun 2021 dimana satu jawatankuasa Task Force Tanah Terbiar Negeri Terengganu telah diwujudkan bagi memantau pembangunan dan perkembangan program ini,” ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan lisan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Langkap, Azmi Maarof pada Mesyuarat Penggal Keempat Dewan Undangan Negeri (DUN) ke-15 di Wisma Darul Iman, di sini, hari ini.

Mengulas lanjut katanya, melalui Pelan Strategik Pertanian Negeri Terengganu 2024-2030, seluas 1,924 hektar tanah terbiar/tanah sawah berpotensi disasarkan untuk dibangunkan oleh Kerajaan Negeri. 

“Antara yang sedang giat dimajukan sekarang ialah tanah sawah seluas kira-kira 700 hektar di Skim Pengairan Jelapang Langkap oleh sebuah syarikat pelabur tempatan Qudsi Global Sdn Bhd,” ujarnya.

Tambah beliau, pengusaha yang berminat untuk membangunkan tanah terbiar boleh memohon insentif kerajaan melalui Jabatan Pertanian mengikut kesesuaian tanaman beserta syarat-syarat yang telah ditetapkan.


Tag :

Ketupat

Artikel Berkaitan