Jalur Gemilang
Berita :
15 Peserta FUTERA Berpeluang Sertai Forum Ekonomi SG4
15 Peserta FUTERA Berpeluang Sertai Forum Ekonomi SG4
Noraini Jusoh
18 jam yang lepas
355

KUALA LUMPUR, 26 Oktober – Seramai 15 peserta program pembangunan kepimpinan Future Terengganu Leaders (FUTERA) berpeluang menyertai SG4 Business & Economic Forum 2026 sekali gus memperluas pengetahuan mengenai pembangunan ekonomi, dasar strategik dan kerjasama serantau.

Penyertaan menerusi program khas The Executive Exchange 2026 anjuran Akademi Kepimpinan Al-Fateh (AKAF) itu berlangsung pada 25 hingga 26 Oktober dengan peserta terdiri daripada tiga segmen FUTERA iaitu Fellow, Advance dan Premier.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan NGO Negeri, Hishamuddin Abdul Karim berkata, pembangunan belia perlu merangkumi pendedahan kepada realiti ekonomi, dasar pembangunan dan cabaran global bagi mempersiapkan generasi muda sebagai pemimpin masa hadapan.

“Pembangunan belia tidak seharusnya tertumpu kepada aktiviti kepimpinan semata-mata, tetapi perlu diperluas kepada kefahaman ekonomi, dasar pembangunan dan cabaran global agar generasi muda lebih bersedia menyumbang kepada masa depan negeri,” katanya yang turut bersama peserta pada forum yang berlangsung di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC).

Forum bertemakan Four States. One Economic  Vision itu menghimpunkan pemimpin negeri, tokoh korporat, pakar ekonomi dan pemain industri bagi membincangkan potensi kerjasama ekonomi, perdagangan serta pelaburan melibatkan Terengganu, Kedah, Kelantan dan Perlis.

Antara isu yang dibincangkan termasuk ketidaktentuan ekonomi global, pembiayaan mampan, pembangunan industri semikonduktor, cabaran perusahaan kecil dan sederhana (PKS) serta peluang pertumbuhan ekonomi serantau.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Al-Fateh Terengganu Sdn. Bhd., Che Wan Mohd Faizul Che Wan Yusof berkata, pemilihan peserta berdasarkan komitmen, prestasi, penglibatan dan potensi kepimpinan yang dikenal pasti melalui penilaian berterusan sekretariat.

Katanya, peserta turut mengikuti bengkel berkaitan hubungan antarabangsa, diplomasi dan komunikasi profesional bersama wakil diplomatik pada 25 Oktober sebagai persediaan menghadiri forum berkenaan.

“Pendedahan ini diharap dapat membantu peserta mengikuti perbincangan dengan lebih berkesan, membina jaringan bermakna serta memahami peranan hubungan strategik dalam meneroka peluang kerjasama dan pembangunan,” katanya.

Beliau berkata, pengalaman itu juga dapat memperluas perspektif peserta dalam memahami cabaran ekonomi, mengenal pasti peluang pelaburan dan menghubungkan perkembangan semasa dengan aspirasi pembangunan Terengganu.



Tag :

Jalur Gemilang

Artikel Berkaitan