Jalur Gemilang
Berita :
2.14 Tan Bekalan Makanan ke Pulau Perhentian Hadapi MTL
2.14 Tan Bekalan Makanan ke Pulau Perhentian Hadapi MTL
Rohayati Ripin
22 jam yang lepas
154

KUALA TERENGGANU, 29 Oktober – Sebanyak 2.14 tan metrik bekalan makanan ke Pangkalan Hadapan Pulau Perhentian sebagai persediaan menghadapi Monsun Timur Laut (MTL) 2026/2027, mengurangkan risiko kekurangan bekalan sekiranya laluan laut terganggu akibat cuaca buruk.

Pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat Negeri Terengganu (JKMNT) Ismail Kasan berkata, penghantaran yang dilaksanakan pada 26 Oktober lalu di Pangkalan Maritim Tok Bali itu merupakan langkah kesiapsiagaan awal bagi memastikan keperluan asas penduduk pulau berkenaan dapat dipenuhi sepanjang musim tengkujuh.

Katanya, sebanyak 2,142 kilogram bekalan makanan dihantar, merangkumi 100 beg beras, 576 tin sardin, 504 tin kari ayam, 200 kilogram gula, 100 kilogram minyak masak, 100 kilogram garam, 200 pek serbuk kopi, 200 pek serbuk teh, 200 tin susu pekat, 400 pek mihun dan 100 tin biskut.

“Sebanyak empat unit palet plastik turut dibekalkan bagi membantu urusan penyimpanan dan pengendalian barang.

“Bekalan ini dianggarkan mampu menampung keperluan kira-kira 2,000 orang sekiranya berlaku gangguan bekalan akibat banjir atau cuaca buruk berterusan,” jelasnya ketika dihubungi Urus Setia Penerangan Darul Iman hari ini.

Menurutnya, tempoh bekalan mampu bertahan bergantung pada jumlah penduduk yang kekal berada di pulau dan kadar penggunaan makanan, memandangkan sebahagian penduduk lazimnya kembali ke tanah besar apabila pulau ditutup sepanjang musim tengkujuh.

Tambah beliau, pemantauan baki stok dan keperluan penduduk perlu dilaksanakan secara berterusan bagi membolehkan tindakan susulan dirancang sekiranya gangguan pengangkutan laut berlarutan.

“Sebarang penghantaran tambahan perlu mengambil kira keadaan cuaca dan faktor keselamatan. 

"Jika laluan laut tidak dapat digunakan untuk tempoh yang panjang, kaedah pengangkutan alternatif boleh dibincangkan bersama agensi berkaitan, tertakluk pada kesesuaian operasi dan penilaian keselamatan,” ujarnya.

Dalam pada itu, Ismail berkata, pengalaman pengurusan penghantaran sebelum ini turut membantu JKMNT mengenal pasti beberapa aspek yang perlu ditambah baik, khususnya penyelarasan awal antara agensi, perancangan tenaga kerja dan pengesahan penglibatan pihak terlibat.

Katanya, antara cabaran yang dikenal pasti ialah keperluan memaklumkan pihak Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) lebih awal bagi memberikan tempoh mencukupi untuk persediaan operasi.

Selain itu, penambahan tenaga kerja di darat dan di pulau serta pengesahan kehadiran setiap agensi lebih awal turut penting bagi melancarkan proses pemunggahan, pemindahan dan penyusunan bekalan.

“Bagi pelaksanaan MTL 2026/2027, aspek penyelarasan tarikh program, komunikasi antara agensi, pengesahan penglibatan dan perancangan tenaga kerja diberikan perhatian bagi memastikan operasi berjalan lebih teratur,” ujarnya.

Jelasnya lagi, kerjasama pelbagai pihak penting bagi memastikan urusan logistik dilaksanakan dengan cekap, teratur dan selamat, khususnya ketika berdepan risiko gangguan perjalanan laut sepanjang musim tengkujuh.

“Dari sudut JKMNT, tumpuan diberikan kepada kesiapsiagaan kebajikan melalui penyediaan dan penempatan awal bekalan makanan di pangkalan hadapan. 

"Bagi aspek ubat-ubatan, rawatan kesihatan dan bantuan kecemasan, perkara itu diselaraskan oleh agensi berkaitan mengikut bidang kuasa masing-masing.

“JKMNT akan terus bekerjasama dengan agensi berkaitan bagi memantau keperluan penduduk dan menyelaras bantuan kebajikan sekiranya berlaku bencana,” katanya.

Program penghantaran berkenaan melibatkan 25 anggota dan wakil daripada pelbagai agensi, terdiri daripada 15 anggota Maritim Malaysia, dua wakil JKMNT, tiga anggota Pejabat Kebajikan Masyarakat Daerah (PKMD), dua anggota Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), seorang sukarelawan, seorang wakil Pejabat DUN dan seorang wakil Pejabat Daerah.


Tag :

Jalur Gemilang

Artikel Berkaitan