KUALA TERENGGANU, 11 November – Penduduk di 460 kawasan hotspot banjir di Terengganu diingatkan supaya tidak menunggu sehingga keadaan menjadi kritikal sebelum mengambil langkah keselamatan susulan amaran hujan berterusan dan ramalan awal banjir di negeri itu.
Menteri Besar, Dato’ Seri Ir. Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, penduduk terutama di kawasan rendah dan berhampiran lembangan sungai perlu meningkatkan kesiapsiagaan berikutan risiko banjir yang diramalkan melibatkan lapan daerah bagi tempoh 9 hingga 11 November 2026.
Menurutnya, keselamatan diri dan keluarga perlu menjadi keutamaan dengan memastikan perkembangan cuaca sentiasa dipantau serta keperluan penting disediakan lebih awal bagi menghadapi kemungkinan banjir.
“Patuhi arahan berpindah sekiranya dikeluarkan pihak berkuasa,” katanya menerusi hantaran di media sosial rasminya hari ini.
Ahmad Samsuri turut menyeru seluruh rakyat Terengganu supaya mengambil langkah berjaga-jaga dan tidak memandang ringan amaran yang dikeluarkan pihak berkuasa.
Beliau menegaskan kepentingan tindakan awal bagi memastikan keselamatan penduduk sekiranya keadaan cuaca bertambah buruk.
“Semoga Allah SWT melindungi seluruh rakyat Terengganu daripada sebarang musibah dan mempermudah segala urusan,” katanya.