Berita :
ADUN Batu Rakit Gesa Tambah 'Breakwater', Jeti Tangani Hakisan
ADUN Batu Rakit Gesa Tambah 'Breakwater', Jeti Tangani Hakisan
Adli Mohamad
1 jam yang lepas
111

KUALA TERENGGANU, 21 April – Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Rakit, Mohd Shafizi Ismail mencadangkan agar Kerajaan Negeri dan Persekutuan meneliti pandangan penduduk setempat berhubung keperluan menambah 'breakwater' bagi memastikan masalah hakisan dapat ditangani dengan lebih berkesan menjelang musim tengkujuh.

Beliau berkata, cadangan itu wajar diberi perhatian memandangkan penduduk mempunyai pengalaman langsung berdepan isu hakisan yang berlaku di kawasan berkenaan.

Menurutnya, kedudukan 'breakwater' yang dibina agak jauh dan jaraknya antara satu sama lain juga agak renggang boleh menyebabkan hakisan terus berlaku.

“Masalah sekarang 'breakwater' telah buat tetapi hakisan semakin menjadi-jadi. Bagaimana kerajaan yakin dengan masalah ini telah diatasi, saya minta kerajaan melihat cadangan daripada penduduk.

“Penduduk beri cadangan supaya tambah lagi 'breakwater' yang dibuat dengan jarak yang sangat jauh, seperti 'breakwater' yang kelapan dengan kesembilan jaraknya jauh iaitu satu kilometer, dengan jarak sebegini memanglah hakisan akan terus berlaku.

“Tetapi pihak kerajaan jawab sudah yakin dengan apa yang dilaksanakan, saya minta perkara ini diambil perhatian sepenuhnya supaya rakyat di DUN Batu Rakit tidak risau lagi berhadapan dengan musim tengkujuh yang akan datang,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika membahaskan Titah Diraja pada Persidangan Penggal Keempat Dewan Undangan Negeri (DUN) Ke-15 di Wisma Darul Iman, hari ini.

Dalam pada itu, Shafizi turut mencadangkan agar dibina sebuah jeti di lokasi berlakunya hakisan terbabit.

Katanya, cadangan itu dilihat selari dengan potensi pembangunan Batu Rakit yang pernah disebut sebelum ini, termasuk cadangan mewujudkan pelabuhan bagi pendaratan ikan serta persinggahan kapal dari luar negara.

“Sebagaimana dulu-dulu saya dengar cerita dicadangkan supaya dibuat pelabuhan, sebenarnya hebat perancangan pembangunan di Batu Rakit ini.

“Supaya pelabuhan besar dibina untuk pendaratan ikan bahkan menjadi tempat persinggahan kapal-kapal dari negara luar.

“Jadi kalau boleh, buat jeti dahulu sebelum buat pelabuhan, di tempat berlakunya hakisan sekarang, saya cadangkan kerajaan negeri fikirlah untuk jadikan cadangan Tuanku (Pemangku Raja Terengganu) semalam sebagai kenyataan dan ia berlaku di Batu Rakit, insya-Allah,” ujarnya.



Tag :

Ketupat

Artikel Berkaitan