Berita :
Azbi Cadang Pendekatan Menyeluruh Tangani Tekanan Ekonomi Rakyat
Azbi Cadang Pendekatan Menyeluruh Tangani Tekanan Ekonomi Rakyat
Mastura Jamal Din
1 jam yang lepas
68

KUALA TERENGGANU, 22 April – Kerajaan negeri perlu memainkan peranan penting dalam menyeru rakyat agar berjimat cermat dan berbelanja secara bijak bagi menghadapi ketidaktentuan ekonomi semasa.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Besut, Azbi Salleh berkata, antara langkah yang perlu diberi penekanan ialah mendidik rakyat supaya mengamalkan perbelanjaan berhemah, mengutamakan keperluan berbanding kehendak serta menyokong produk tempatan.

“Tindakan melalui kempen 'Beli Barangan Tempatan' perlu dicanangkan dengan lebih meluas, termasuk memberi pendidikan pengguna agar rakyat lebih matang dalam membuat perbandingan harga dan mengelakkan pembaziran. Galakan terhadap perkongsian kenderaan atau 'carpool' komuniti juga wajar dipertingkatkan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika membahaskan Titah Diraja pada Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu Kelima Belas, semalam.

Tambah beliau, peranan kerajaan juga perlu terus diperkasakan dalam memperketat pemantauan bagi memastikan tiada pihak mengambil kesempatan menaikkan harga secara tidak munasabah.

“Oleh itu, operasi bersepadu oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) secara berkala perlu dipertingkatkan lagi. Senarai harga siling barangan asas juga wajar diperluaskan, manakala saluran aduan rakyat perlu diperkasa supaya respons dapat diberikan dengan lebih cepat,” ujarnya.

Azbi turut berkata, kebajikan peniaga kecil juga perlu diberi perhatian agar mereka tidak terus tertekan akibat peningkatan kos operasi.

Sehubungan itu, katanya, kerajaan perlu memikirkan kaedah terbaik untuk menyediakan insentif subsidi pengangkutan atau logistik serta bantuan khas kepada peniaga kecil sama ada dalam bentuk bantuan sekali bayar (one-off) atau mikro kredit.

“Antaranya, galakan penggunaan pembekal tempatan bagi mengurangkan kos juga perlu diberi penekanan,” katanya lagi.

Dalam masa sama, beliau berkata kerajaan juga perlu memperkukuh keupayaan negeri dalam pengeluaran makanan bagi mengurangkan kebergantungan kepada sumber luar, termasuk dengan memperluaskan projek pertanian dan agro-makanan.

Menurutnya, sokongan penuh juga perlu diberikan kepada nelayan dan penternak, termasuk melalui pelaksanaan program '1 Kampung 1 Produk Makanan'.

Azbi turut menjelaskan bahawa peranan komuniti dan institusi masjid sebagai pusat kebersamaan dalam membantu golongan terkesan perlu dipertingkatkan menerusi pelaksanaan program seperti 'Dapur Rakyat' atau bank makanan, pasar berkat, jualan harga murah serta tabung kebajikan komuniti.

Katanya, usaha itu penting bagi menambah baik bantuan kepada golongan terkesan di peringkat setempat tanpa syarat.

Beliau turut menggesa syarikat besar supaya memainkan tanggungjawab sosial masing-masing dengan tidak memindahkan sepenuhnya beban kenaikan kos kepada pengguna.

“Program CSR bantuan barangan asas dan kawalan margin keuntungan secara beretika perlu diambil cakna agar beban cabaran yang berlaku ini dapat dirasai bersama,” ujarnya.


Tag :

Ketupat

Artikel Berkaitan