Berita :
Baik Pulih Masjid Putih, Masjid Kampung Hiliran Diberi Perhatian Serius
Baik Pulih Masjid Putih, Masjid Kampung Hiliran Diberi Perhatian Serius
Mastura Jamal Din
1 jam yang lepas
64

KUALA TERENGGANU, 22 April – Kerajaan Negeri memberi perhatian serius terhadap usaha membaik pulih Masjid Abidin (Masjid Putih) dan Masjid Kampung Hiliran di Kuala Terengganu, dua institusi ibadah penting yang turut mempunyai nilai warisan sejarah negeri.

Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Utiliti dan Pembangunan Luar Bandar Terengganu, Dato’ Hanafiah Mat, berkata bagi Masjid Abidin, projek pembaikan sistem elektrikal bernilai RM490,720 sedang dilaksanakan menerusi peruntukan Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC), dengan Jabatan Kerja Raya (JKR) Negeri sebagai agensi pelaksana.

Menurutnya, projek itu bermula pada 10 Mac 2026 dan dijadual siap pada 1 September 2026.

“Bagi jangka panjang, penilaian menyeluruh telah dibuat dan anggaran kos baik pulih keseluruhan ialah RM8 juta, selaras dengan status masjid ini sebagai Bangunan Warisan Kebangsaan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika sesi pergulungan ke atas Usul Menjunjung Kasih Titah Ucapan KDYMM Pemangku Raja Terengganu pada Mesyuarat Penggal Keempat Dewan Undangan Negeri (DUN) ke-15 di Wisma Darul Iman, di sini, hari ini.

Hanafiah berkata, kerajaan negeri juga sedang berusaha mendapatkan sumbangan pihak korporat bagi menampung keperluan kos baik pulih tersebut.

Sementara itu, bagi Masjid Kampung Hiliran, beliau berkata anggaran kos pembaikan ialah RM2.3 juta dan permohonan peruntukan akan dikemukakan kepada Pejabat YAB Perdana Menteri.

Katanya, sebanyak 80 peratus daripada kos berkenaan, iaitu RM1.84 juta, dijangka dibiayai Kerajaan Persekutuan, manakala baki 20 peratus atau RM460,000 akan ditanggung ahli kariah.


Tag :

Ketupat

Artikel Berkaitan