Berita :
Dr. Zakir Naik Puji Kejayaan Program Himpunkan Umat Islam
Dr. Zakir Naik Puji Kejayaan Program Himpunkan Umat Islam
Hafiz Rosli
1 jam yang lepas
53

KUALA NERUS, 4 April – Pendakwah antarabangsa, Dr Zakir Naik, memuji kejayaan program yang berjaya menghimpunkan umat Islam dari pelbagai latar belakang, sekali gus menjadi platform penting dalam memperkukuh perpaduan ummah.

Beliau berkata, program seumpama itu amat bertepatan dengan situasi umat Islam masa kini yang berdepan pelbagai cabaran, sambil mengingatkan satu hadis Nabi SAW mengenai keadaan umat Islam pada akhir zaman.

Menurut beliau, Rasulullah SAW pernah bersabda bahawa akan tiba satu masa umat Islam ramai bilangannya, namun diserang dari segenap penjuru. 

“Apabila para sahabat bertanya sama ada keadaan itu berlaku kerana jumlah umat yang sedikit, Baginda menjawab tidak, sebaliknya kerana umat Islam ketika itu menghidap penyakit “wahan”.

“Penyakit wahan ialah cintakan dunia dan takut kepada kematian,” katanya ketika ucaptama pada Ijtima’ Antarabangsa Perpaduan Ummah Kali Ke-5 yang berlangsung di Kompleks Sukan Negeri Terengganu di sini hari ini.

Dr. Zakir menyatakan bahawa umat Islam hari ini berjumlah kira-kira dua bilion daripada keseluruhan populasi dunia, namun masih berdepan penindasan di pelbagai tempat termasuk di Rohingya, China, Perancis, Amerika Syarikat dan India.

Beliau turut menyentuh konflik yang berterusan di Gaza serta situasi geopolitik semasa, sambil mempersoalkan tindakan umat Islam dalam menghadapi keadaan tersebut.

“Umat Islam pernah mencapai zaman kegemilangan suatu ketika dahulu, termasuk menguasai Sepanyol selama ratusan tahun, selain empayar besar seperti Uthmaniyyah yang bertahan berabad lamanya.

“Kejatuhan tersebut berpunca daripada perpecahan dalaman serta sikap cintakan dunia dan takut kepada akhirat. Apabila kita berpecah, kita menjadi lemah. Sejarah telah membuktikan bagaimana perpecahan membawa kepada kejatuhan,” jelasnya.



Sehubungan itu, beliau menegaskan bahawa penyelesaian utama adalah kembali kepada ajaran Islam yang sebenar seperti yang dinyatakan dalam Surah Ali Imran ayat 103, iaitu berpegang teguh kepada “tali Allah” dan tidak berpecah-belah.

“Tali Allah merujuk kepada Al-Quran dan sunnah Rasulullah SAW. Kita hanya akan berjaya jika kembali kepada asas ini,” katanya.

Beliau turut menegur sikap segelintir umat Islam yang gemar berdebat mengenai perkara-perkara kecil yang tidak melibatkan akidah, sedangkan banyak lagi perkara besar yang boleh menyatukan umat.

Mengulas lanjut, beliau memetik Surah Fussilat ayat 33 yang menggalakkan umat Islam membalas keburukan dengan kebaikan bagi mengeratkan hubungan dan menyemai kasih sayang.

Selain itu, beliau menyeru agar umat Islam mengubah pendekatan daripada sikap 'hanya aku yang betul' kepada sikap lebih terbuka dengan mengakui kemungkinan orang lain juga berada di pihak yang benar.

“Kita jangan berbalah, sebaliknya cari titik persamaan dan tingkatkan kasih sayang serta persaudaraan.

“Kehidupan ini adalah satu ujian, dan kejayaan sebenar hanya dapat dicapai dengan kembali kepada Al-Quran dan sunnah, di samping mengamalkan ketaatan kepada Allah SWT dan Rasul-Nya,” ujarnya.

Mengakhiri ucapannya, beliau mengajak umat Islam untuk bermuhasabah diri dan mengambil peluang untuk kembali kepada asas agama demi membina kekuatan dan perpaduan ummah.


Tag :

Ketupat

Artikel Berkaitan