Berita :
Exco Terengganu Lapor Polis Hantaran Fitnah Kait Istana
Exco Terengganu Lapor Polis Hantaran Fitnah Kait Istana
Mastura Jamal Din
3 jam yang lepas
203

KUALA TERENGGANU, 24 April – Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Utiliti dan Pembangunan Luar Bandar Terengganu, Dato’ Hanafiah Mat membuat laporan polis berhubung satu hantaran tular yang mengaitkan dirinya dengan cadangan penubuhan tadika PASTI dalam Istana Terengganu.

Hanafiah menegaskan dakwaan tersebut adalah tidak benar, mengelirukan dan bersifat fitnah.

Menurutnya, hantaran berkenaan merupakan tuduhan palsu oleh pihak tidak bertanggungjawab yang boleh mencemarkan nama baik serta reputasinya sebagai Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Terengganu.

“Perkara seperti ini tidak sepatutnya berlaku, lebih-lebih lagi apabila ia melibatkan nama institusi istana yang harus dihormati dan dipelihara maruahnya.

“Lebih serius, hantaran tersebut turut mengaitkan Istana Terengganu, sekali gus boleh menimbulkan salah faham masyarakat, mencetuskan persepsi negatif serta mengheret institusi diraja ke dalam kemelut politik semasa,” katanya ketika dihubungi Urus Setia Penerangan Darul Iman hari ini.

Terdahulu, sebuah laman Facebook dikenali sebagai Harakatdaily HD menyiarkan kenyataan berbunyi: “Exco PAS Terengganu cadang wujudkan tadika PASTI dalam Istana Terengganu. Berucap merangkak macam Cina Gerakan, ujarnya ringkas.”

Mengulas lanjut, Hanafiah berkata pihaknya memandang serius penyebaran hantaran tersebut dan laporan polis telah dibuat sebagai tindakan awal.

“Isu ini dipandang serius dan tindakan sewajarnya akan diambil dengan segera bagi memastikan kebenaran ditegakkan serta integriti institusi terus terpelihara.

“Kami juga akan meneliti perkara ini dengan lebih serius untuk tindakan seterusnya,” katanya.

Beliau turut menyerahkan kepada pihak polis untuk menjalankan siasatan terhadap pemilik, pentadbir atau mana-mana pihak yang mengendalikan akaun berkenaan.

Katanya, siasatan boleh dijalankan di bawah peruntukan undang-undang berkaitan termasuk kesalahan fitnah, komunikasi jelik dan penyebaran maklumat palsu.



Tag :

Ketupat

Artikel Berkaitan