KUALA TERENGGANU, 23 April – Hussin Ismail tokoh kemanusiaan terus dipilih kali kedua wakili Terengganu di Dewan Negara berikutan sumbangan luas beliau dalam bidang kemanusiaan, dakwah dan pembangunan masyarakat di peringkat nasional serta antarabangsa.
Dilahirkan pada 10 Mei 1955 di Kampung Tebakang, Bukit Payong, Marang, beliau mempunyai latar belakang pendidikan dalam bidang pertanian dari Universiti Pertanian Malaysia yang menjadi asas kepada pembangunan kerjaya dan pemikirannya terhadap pembangunan masyarakat.
Penglibatan beliau dalam kerja-kerja kemanusiaan terserlah apabila mengasaskan Amal Foundation of Malaysia dan International Federation for Relief & Development (IFRD), di samping mengetuai misi bantuan ke lebih 40 negara.
Selain itu, beliau turut aktif dalam pembangunan pendidikan dan dakwah melalui penubuhan Akademi Al-Quran Amalillah (AKMAL) serta penglibatan dalam pelbagai persidangan antarabangsa termasuk berkaitan perpaduan ummah dan kerjasama strategik antara negara.
Di peringkat tempatan, beliau memainkan peranan penting dalam memperkasa komuniti melalui penubuhan koperasi kariah, pusat jagaan Villa Mawaddah serta inisiatif Warung Makan Sahabat yang membantu golongan memerlukan.
Sepanjang berkhidmat sebagai Senator Dewan Negara mewakili Terengganu dari 15 Mac 2023 hingga 14 Mac 2026, beliau aktif dalam pelbagai jawatankuasa termasuk Jawatankuasa Pilihan Khas Tatakelola, Integriti dan Anti-Rasuah.
Pengiktirafan terhadap sumbangannya turut dizahirkan melalui penganugerahan Darjah Setia Sultan Mizan Zainal Abidin (SMZ) pada tahun 2025.
Berdasarkan pengalaman luas dan rekod perkhidmatan merentas pelbagai bidang, beliau dilihat berupaya terus memperkukuh suara Terengganu di peringkat persekutuan serta memainkan peranan penting dalam institusi legislatif negara.
Tag :