KUALA TERENGGANU, 24 April - Hutang Kerajaan Negeri Terengganu menyusut ketara daripada sekitar RM907 juta yang ditinggalkan pentadbiran dahulu pada 2017 kepada RM114.68 juta setakat 31 Mac 2026.
Penurunan hampir RM800 juta atau kira-kira 87 peratus itu menunjukkan kedudukan hutang negeri kini berada pada paras jauh lebih terkawal berbanding sebelum ini.
Menteri Besar, Dato’ Seri Ir. Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar, berkata baki pinjaman kerajaan negeri setakat 31 Mac 2026 adalah RM114,677,802.01.
“Insya-Allah, Kerajaan Negeri Terengganu kekal komited mengurus kewangan secara berhemah dan berstrategi.
“Data sehingga 31 Mac 2026 ini menunjukkan baki pinjaman berada pada paras RM114.68 juta, dengan trend pengurangan yang konsisten sejak beberapa tahun kebelakangan,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam jawapan lisan kepada ADUN Pengkalan Berangan, Sulaiman Sulong, pada Mesyuarat Pertama Penggal Keempat Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu ke-15.
Menurut Ahmad Samsuri, baki pinjaman itu melibatkan Projek Rancangan Bekalan Air sebanyak RM102.80 juta dan Projek Perumahan Awam Kos Rendah sebanyak RM11.88 juta.
Bagi tahun 2026, katanya, anuiti matang berjumlah RM24.27 juta dan bayaran akan dibuat melalui pemotongan Akaun Amanah Dana Khas Kerajaan Persekutuan (DKKP), tertakluk kelulusan Kementerian Kewangan.
“Kerajaan negeri juga tidak merekodkan tunggakan hutang sehingga 2025 selepas semua tunggakan diselesaikan melalui kaedah kontra Akaun Amanah DKKP pada 2024.
“Rekod kerajaan negeri menunjukkan baki pinjaman terus menurun daripada RM266.36 juta pada 2021 kepada RM113.69 juta pada 2025, sebelum berada pada RM114.68 juta setakat 31 Mac 2026.
“Peningkatan kecil itu susulan pinjaman baharu berjumlah RM681,771.91 pada 2025 bagi projek membina dan menyiapkan Loji Rawatan Air 20 MLD di Tasik Kenyir, Hulu Terengganu,” ujarnya.
Ahmad Samsuri berkata kerajaan negeri akan terus mengawal pinjaman baharu berdasarkan keutamaan, kemampuan bayaran balik dan impak projek kepada rakyat.
“Di samping menyelesaikan hutang yang ada, kita juga sentiasa mencari peluang untuk terus tingkatkan hasil demi menjamin kesejahteraan rakyat tercinta,” katanya.
Tag :