Jalur Gemilang
Berita :
Ikhlas: Tarik Sokongan di Parlimen Atau Bubar DUN Terengganu?
Ikhlas: Tarik Sokongan di Parlimen Atau Bubar DUN Terengganu?
Husaif Mamat
15 jam yang lepas
242

Pilihan raya awal lazimnya lahir daripada satu daripada tiga keadaan, antaranya kerajaan kehilangan majoriti, berlaku kebuntuan politik yang menjejaskan pentadbiran, atau mandat hampir sampai ke penghujungnya. 

Di luar keadaan itu, pembubaran Dewan Undangan Negeri lebih awal menuntut rasionaliti pentadbiran, apakah manfaatnya setimpal dengan kos politik, kewangan dan sosial yang perlu ditanggung rakyat?.

Kerangka inilah yang wajar digunakan untuk membaca cadangan supaya Terengganu mengadakan Pilihan Raya Negeri lebih awal bagi menguji 'keikhlasan' penyatuan politik dan mencari formula kerjasama menjelang PRU16.

Terengganu ketika ini tidak memenuhi ciri sebuah negeri yang sedang berdepan krisis pemerintahan. Kerajaan mempunyai mandat 32 daripada 32 kerusi DUN, tiada ancaman kehilangan majoriti dan tidak berlaku kebuntuan yang menghalang pentadbiran berjalan. 

Pada masa yang sama, beberapa petunjuk fiskal dan sosial menunjukkan kerajaan negeri masih mempunyai ruang untuk meneruskan agenda yang sedang dilaksanakan.

Hasil negeri meningkat kepada RM454.69 juta, baki hutang menyusut kepada RM114.68 juta berbanding RM907 juta pada 2017, lebih 224,000 pesakit telah mendapat manfaat Wad Kelas Ketiga Percuma, manakala program kebajikan dan agihan tanah terus berjalan.

Ini bukan bermaksud pentadbiran Terengganu sempurna. Masih banyak yang boleh diperbaiki. Tetapi dari sudut politik dan pentadbiran, tidak ada krisis yang memerlukan satu PRN baharu.

Jangan kerana formula politik belum selesai di atas meja, sebuah negeri yang sedang berjalan elok pula diminta menekan butang 'reset'.

Pilihan raya juga mempunyai harga. PRN Terengganu 2023 sahaja menelan kos RM32.824 juta. Itu belum dikira kos sebenar yang keluar daripada poket rakyat, tiket, minyak, tol, cuti kerja dan masa untuk pulang mengundi.

Jika PRN diadakan sekarang dan PRU16 menyusul tidak lama selepas itu, rakyat mungkin terpaksa melakukannya dua kali.

Dua kali pulang. Dua kali cuti. Dua kali belanja. Bagi parti, mungkin itu strategi. Bagi rakyat, itu tekanan.

Kalau RM32 juta lebih perlu dibelanjakan hanya untuk mengetahui siapa patut bertanding di kerusi mana, barangkali masalah sebenarnya bukan pada sistem pilihan raya. Masalahnya ialah parti belum selesai berunding dan mahu menjadi 'abang besar'.

Lebih menarik, kalau persoalannya ialah 'keikhlasan', bukankah perkara itu sebenarnya sudah pernah diuji?

Dalam PRN Johor 2026, penyokong PAS diminta membantu calon BN di kawasan tertentu. BN akhirnya menang besar dengan 48 daripada 56 kerusi.

Negeri Sembilan pula memberikan contoh lebih jelas. BN memenangi 18 kerusi, PN tujuh dan kedua-duanya membentuk kerajaan dengan 25 daripada 36 kerusi. UMNO kembali mengetuai kerajaan negeri, malah kedudukan BN sendiri meningkat daripada 14 kerusi pada 2023 kepada 18 kerusi pada 2026.

Kalau mahu tahu sama ada PAS boleh membantu BN, Johor sudah memberikan data.

Kalau mahu tahu sama ada BN dan PN boleh membentuk kerajaan bersama, Negeri Sembilan sudah memberikan jawapan.

Kalau formula itu masih lemah, kaji. Kalau pemindahan undi tidak berlaku, analisis. Tidak perlu menjadikan Terengganu makmal politik sekali lagi.

Malah, kalau mahu bercakap soal mandat, persoalan lebih besar sebenarnya sedang berkembang di peringkat Persekutuan.

Perselisihan terbuka antara komponen kerajaan bukan lagi rahsia. Namun dari sudut Perlembagaan, Parlimen tidak wajib dibubarkan selagi Perdana Menteri mempunyai sokongan majoriti Dewan Rakyat.

Tetapi politik bukan hanya soal cukup atau tidak angka 112. Ada juga soal tanggungjawab moral pemerintahan.

Jika pertelingkahan dalam kerajaan menjadi terlalu kronik sehingga dasar saling bercanggah, pentadbiran terganggu dan rakyat mula menanggung akibatnya, mendapatkan mandat baharu boleh menjadi tuntutan moral-politik.

Sebuah kerajaan tidak sepatutnya sekadar mempunyai cukup angka untuk hidup, ia juga perlu mempunyai cukup kesepaduan untuk mentadbir.

Kalau keadaan di peringkat Persekutuan benar-benar sampai ke tahap tidak lagi dapat dipertahankan, mekanismenya sudah ada, tarik sokongan, uji majoriti di Dewan Rakyat dan kembalikan mandat kepada rakyat mengikut proses Perlembagaan.

Kerjasama politik pula tidak boleh diuji sebelah pihak. Di negeri UMNO kuat, PAS perlu menghormatinya. Di negeri PAS kuat, UMNO juga perlu menerima realiti yang sama.

Johor sudah menunjukkan satu bentuk kerjasama. Negeri Sembilan sudah membuktikan ia boleh diterjemahkan kepada pembentukan kerajaan.

Maka keikhlasan sebenarnya sudah mempunyai bukti lapangan.

Keikhlasan bukan apabila satu pihak diminta berkorban, sementara satu pihak lagi duduk mengukur sejauh mana pengorbanan itu cukup ikhlas.

Kerjasama yang matang bersifat timbal balik. Hormati kekuatan masing-masing, kemudian runding ruang yang masih boleh dipertemukan.

Jangan mencari krisis di negeri yang tidak mempunyai krisis. 



Tag :

Jalur Gemilang

Artikel Berkaitan