Berita :
Iktiraf UC TATI Sebagai Pusat Kecemerlangan Mineral Negeri Terengganu
Iktiraf UC TATI Sebagai Pusat Kecemerlangan Mineral Negeri Terengganu
Noraini Jusoh
1 jam yang lepas
72

KUALA TERENGGANU, 22 April – Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kemasik, Ir. Saiful Azmi Suhaili mencadangkan agar Kolej Universiti (UC) TATI diiktiraf sebagai Pusat Kecemerlangan Mineral Negeri Terengganu, khususnya dalam bidang mineral kritikal serta Rare Earth Elements (REE).

Menurut beliau, cadangan itu selaras dengan titah Pemangku Raja Terengganu, Tengku Muhammad Ismail Sultan Mizan Zainal Abidin yang menekankan kepentingan kerjasama antara industri dan institusi pendidikan tempatan bagi menyediakan tenaga kerja mahir untuk memenuhi keperluan industri.

Katanya, UC TATI telah memulakan langkah konkrit ke arah tersebut melalui tiga komponen utama iaitu pembangunan fasiliti makmal, pemerkasaan penyelidikan dan pembangunan modal insan.

“Bagi pembangunan fasiliti makmal, kerjasama telah dimeterai bersama pihak industri untuk membangunkan makmal analisis REE, termasuk penggunaan teknologi seperti ICP-MS bagi analisis sampel mineral secara tepat.

“Dari aspek pemerkasaan penyelidikan pula, UC TATI aktif memohon geran seperti MOSTI TED-1, GET dan lain-lain, di samping menghasilkan penerbitan serta inovasi berkaitan pemprosesan mineral, termasuk kejayaan di peringkat inovasi kebangsaan,” ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika membahaskan Titah Diraja pada Persidangan Dewan Undangan Negeri Bagi Mesyuarat Pertama Penggal Keempat Dewan Undangan Negeri (DUN) Ke-15, Di Wisma Darul Iman, semalam.

Sementara itu katanya, bagi pembangunan modal insan, program latihan khusus dalam eksplorasi dan perlombongan mineral sedang dibangunkan termasuk usaha menjadikan kampus UC TATI sebagai living lab untuk latihan sebenar di lapangan.

Tegas beliau, cadangan tersebut bukan sekadar menaik taraf sebuah institusi, tetapi merupakan satu langkah strategik untuk melahirkan tenaga kerja tempatan berkemahiran tinggi dalam sektor mineral, menarik pelaburan industri berasaskan teknologi tinggi serta mengurangkan kebergantungan kepada kepakaran luar.

Malah katanya, berupaya menjadikan Terengganu sebagai hab rujukan mineral kritikal di peringkat nasional dan serantau.

Justeru, beliau mencadangkan agar Kerajaan Negeri memberi pengiktirafan rasmi kepada UC TATI sebagai Terengganu Critical Mineral Excellence Center, menyokong pembangunan fasiliti makmal dan penyelidikan melalui peruntukan khas dan memperkukuh kerjasama strategik antara UC TATI, industri, serta agensi kerajaan berkaitan.

“Dengan sokongan semua pihak, kita bukan sahaja mampu membangunkan sektor mineral ini, tetapi juga memastikan manfaatnya dinikmati oleh rakyat Terengganu secara menyeluruh.




Tag :

Ketupat

Artikel Berkaitan