KUALA TERENGGANU, 16 Mac- Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Terengganu akan melaksanakan strategi utama melibatkan kenderaan awam, kenderaan perdagangan dan motosikal sepanjang Operasi Khas Perayaan Hari Raya Aidilfitri (HRA) 2026 yang bermula hari ini sehingga 29 Mac.
Pengarah JPJ Terengganu, Mohd Zamri Sameon berkata, operasi bermula dengan pemeriksaan bas di depoh yang dilaksanakan sebagai Pra Ops HRA 2026 pada 13 hingga 15 Mac bagi memastikan Kenderaan Perkhidmatan Awam (Bas Ekspres) mematuhi peraturan keselamatan serta keperluan teknikal kenderaan.
"Berkaitan Ops HRA ini, JPJ Terengganu khususnya sangat serius merangka startegi memastikan kita dapat mitigasi berkaitan risiko kemalangan dan kematian. Kita juga telah meletakkan bagaimana KPI kemalangan dan kematian perlu diturunkan.

"Selain itu, merujuk kepada bas ekspres kita telah merancang sebanyak 44 penyamaran melibatkan bas ekspres pergi dan balik, jadi ini untuk kita pastikan semua pemandu bas cukup peka terhadap pemanduan ketika membawa penumpang untuk pulang ke kampung atau kembali ke tempat kerja nanti," katanya.
Beliau berkata demikian selepas Ops Khas HRA 2026 dan Ops Motosikal (Rempit) berhampiran Jambatan Angkat Kuala Terengganu, malam tadi.
Dalam operasi itu, Zamri memaklumkan, sebanyak 22 penunggang motosikal ditahan, termasuk seorang remaja perempuan berusia 17 tahun.
"Kita fokus paling kritikal adalah melibatkan Ops Motosikal, kita melihat dalam konteks yang mana kebanyakan peningkatan kemalangan berpunca daripada motosikal, jadi kita mengambil itu sebagai 'focal point' yang penting untuk kita jalankan penguatkuasaan sepanjang Ops HRA ini," katanya.
Jelas Zamri, kesemua motosikal disita atas pelbagai kesalahan termasuk melakukan pengubahsuaian ekstrem dan Lesen Kenderaan Motor tamat tempoh.

"Semua ini yang dilihat sebagai faktor kritikal selain daripada sikap penunggang itu sendiri, isu kenderaan yang diubah suai dan ini lagi meningkatkan risiko kematian sekiranya berlaku kemalangan.
"Sepanjang Ops HRA ini, kita berharap semua pemandu dan pengguna jalan raya mengambil perhatian yang serius. Kita akan melihat isu-isu motosikal walaupun perkara kecil seperti pemakain helmet dan sebagainya.
"Ini penting kerana kita tidak mahu lagi berlaku kemalangan maut disebabkan isu-isu kecil di kawasan-kawasan dan laluan kampung." katanya.
Tag :