HULU TERENGGANU, 27 September – Kerajaan negeri memberi perhatian terhadap usaha memelihara khazanah sejarah Hulu Terengganu termasuk Batu Bersurat serta makam-makam yang mempunyai nilai sejarah untuk dikembangkan sebagai lokasi pelancongan.
Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim negeri, Dato' Razali Idris berkata, usaha pemuliharaan itu akan terus diperkasakan menerusi pendekatan pembangunan geopark yang turut membuka peluang mendapatkan peruntukan bagi tujuan berkenaan.
"Mercu tanda utama Hulu Terengganu ialah Batu Bersurat dan kita akan terus memelihara, memulihara serta menjaganya.
"Apabila kawasan ini masuk dalam geopark, terdapat peruntukan tertentu yang boleh digunakan untuk program pemuliharaan dan penjagaan khazanah sejarah," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Program Karnival BerakitJejak Pahlawan yang bermula di Dataran Syeikh Abdul Qahar, Kampung Dusun dan berakhir di Kampung Buluh, di sini semalam.
Menurut beliau, makam-makam lama yang mempunyai nilai sejarah juga wajar dikenal pasti dan diberi perhatian supaya tidak hilang ditelan zaman.
Katanya, pihak berkaitan boleh bekerjasama mengenal pasti makam yang mempunyai nilai sejarah sebelum langkah pemuliharaan dan baik pulih dilaksanakan.
"Kalau terdapat makam yang mempunyai nilai sejarah, kita boleh berbincang untuk mengenal pasti jumlah serta lokasi yang sesuai untuk dipelihara.
"Insya-Allah, kita akan jaga dan baik pulih supaya ia bukan sahaja terpelihara sebagai warisan, tetapi boleh menjadi antara lokasi pelancongan," katanya.
Razali berkata, usaha tersebut penting bagi memastikan sejarah dan warisan Hulu Terengganu terus dikenali generasi akan datang selain memberi nilai tambah kepada sektor pelancongan negeri.