HULU TERENGGANU, 17 Oktober – Polis menahan seorang wanita tempatan berusia 23 tahun bagi membantu siasatan kes penemuan mayat bayi di dalam longkang di kawasan perumahan Padang Setengge, Kuala Berang, di sini, semalam.
Ketua Polis Daerah Hulu Terengganu, Superintenden Sharudin Abdul Wahab berkata, wanita itu ditahan pada jam 3.30 petang hari ini, sekali gus membawa kepada penyelesaian kes berkenaan dalam tempoh kurang 24 jam.
Menurutnya, polis menerima maklumat daripada seorang lelaki tempatan pada jam 6.52 petang, 16 Oktober lalu, yang memaklumkan penemuan sebahagian anggota badan mayat bayi di dalam longkang di kawasan perumahan berkenaan.
“Hasil siasatan awal mendapati hanya sebahagian anggota badan bayi ditemukan, manakala bahagian lain masih belum ditemui.
“Jantina bayi itu juga pada awalnya belum dapat dipastikan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, pasukan forensik, Jabatan Siasatan Jenayah (D10) dan Unit Anjing Pengesan (K9) dari Ibu Pejabat Polis Kontinjen Terengganu turut membantu siasatan di lokasi kejadian.
Katanya, bedah siasat telah dijalankan, namun punca sebenar kematian masih belum dapat dikenal pasti berikutan keadaan mayat yang tidak sempurna serta ketiadaan sebahagian organ dalaman.
Siasatan mengikut Seksyen 318 Kanun Keseksaan
Mengulas lanjut, Sharudin berkata, kertas siasatan dibuka mengikut Seksyen 318 Kanun Keseksaan kerana menyembunyikan kelahiran dengan cara membuang atau menyembunyikan mayat secara sulit.
Jika sabit kesalahan, pesalah boleh dikenakan hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.
Beliau berkata, penahanan wanita terbabit mendedahkan maklumat berkaitan kelahiran dan penglibatannya dalam kes itu.
“Suspek akan dibawa untuk permohonan reman esok bagi membantu siasatan lanjut,” katanya.
Kes berkenaan mencetuskan perhatian selepas penemuan mayat bayi dalam keadaan tidak sempurna di kawasan perumahan itu, sekali gus menimbulkan persoalan mengenai kejadian sebenar yang berlaku.