SETIU, 23 November – Projek Pemuliharaan Muara Sungai Merang bernilai RM156 juta yang dijangka memulakan kerja pembinaan pada awal tahun 2027 bakal menjadi penyelesaian tuntas kepada masalah muara cetek yang sekian lama mengancam keselamatan serta menjejaskan mata pencarian komuniti maritim setempat.
Ahli Parlimen Setiu, Shaharizukirnain Abd Kadir berkata, projek berskala besar yang akan mengambil masa selama lima tahun untuk disiapkan itu amat dinanti-nantikan oleh para nelayan dan pengusaha bot pelancong yang sering berdepan risiko bot tersangkut serta terbalik ketika keluar masuk di muara berkenaan.
Perkara itu dinyatakan ketika beliau menyampaikan ucapan aluan pada Sesi Libat Urus bersama pemegang taruh projek berkenaan yang berlangsung di Jeti Merang, pagi tadi.
"Projek ini merupakan satu keperluan mendesak bagi memastikan keselamatan nyawa serta kelangsungan rezeki para nelayan dan pengusaha bot pelancong di sekitar Merang terus terjamin.
"Sesi libat urus ini menjadi platform terbaik untuk semua pihak menyuarakan pandangan serta mendapatkan penjelasan terus daripada agensi pelaksana sebelum kerja-kerja fizikal dimulakan," katanya.
Sesi berkenaan menghimpunkan pelbagai agensi kerajaan dan wakil komuniti setempat termasuk Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Negeri dan Daerah, pihak kontraktor projek, Majlis Daerah Setiu (MDS), Pejabat Tanah Setiu serta Polis Diraja Malaysia (PDRM).
Turut hadir memeriahkan dan memberikan input dalam sesi soal jawab serta pertukaran pandangan itu ialah wakil pengusaha bot pelancong, barisan pemimpin Persatuan Nelayan dan Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) yang terlibat.