Berita :
Rezeki Akhir Ramadan, 100 Keluarga Nelayan Terengganu Terima Rumah Baharu
Rezeki Akhir Ramadan, 100 Keluarga Nelayan Terengganu Terima Rumah Baharu
Ahmad Zaeem Zainudin
2 jam yang lepas
227

BESUT, 17 Mac - Kehadiran Syawal yang bakal menjelang membawa khabar gembira buat 100 keluarga nelayan di Terengganu apabila menerima kediaman baharu menerusi Program Penempatan Semula Nelayan (PSN) di Benting Lintang, Besut dan Pulau Skepeng, Kemaman.

Menteri Besar, Dato’ Seri Ir. Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, secara keseluruhannya projek itu melibatkan 100 unit rumah di lokasi berkenaan yang lengkap dengan pelbagai kemudahan asas.

"Sebagaimana yang semua kita sedia maklum bahawa projek ini adalah merupakan 50 buah unit penempatan baharu yang dibangunkan di sini, Besut, dan 50 buah lagi di Pulau Skepeng, Kemaman, lengkap dengan semua kemudahan, yang sama-sama kita saksikan pada hari ini.

"Dengan siapnya projek ini, seramai 100 orang nelayan, keluarga nelayan, kini berpeluang menikmati persekitaran yang lebih selamat, selesa dan terancang," katanya ketika berucap pada majlis penyerahan kunci, hari ini.

Projek PSN yang telah menelan perbelanjaan sebanyak RM29.2 juta itu secara keseluruhannya melibatkan tiga lokasi dengan 50 unit rumah di setiap lokasi.

Sebahagian besar perbelanjaan pembinaan sebanyak RM16 juta lebih serta tapak tanah percuma telah ditanggung oleh kerajaan negeri manakala RM13 juta disumbang oleh Kementerian Pertanian melalui Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) Negeri Terengganu.

Menurut maklumat projek, setiap unit rumah yang dibina merupakan rumah teres satu tingkat dengan kemudahan seperti taman permainan, gerai jualan, kedai, serta infrastruktur utiliti lengkap.

Kerajaan telah menetapkan harga mampu milik bagi membantu golongan nelayan, iaitu RM54,000 seunit berbanding kos sebenar sekitar RM185,000, dengan bayaran bulanan kira-kira RM171 untuk tempoh pembiayaan 25 tahun.

Dalam pada itu, Ahmad Samsuri merakamkan sekalung penghargaan kepada Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan, LKIM Negeri Terengganu serta Perbadanan Memajukan Iktisad Negeri Terengganu (PMINT) dan semua pihak atas kerjasama bagi menjayakan pembangunan murni itu. 

Beliau juga menegaskan bahawa kerajaan negeri akan terus komited memperluaskan agenda pembangunan perumahan rakyat ke kawasan lain agar lebih ramai rakyat dapat menikmati manfaat tersebut.

"Kerajaan Negeri Terengganu akan terus komited untuk memastikan agenda pembangunan perumahan rakyat sentiasa diberikan keutamaan," ujarnya.

Turut hadir, barisan-barisan Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri, Dato' Dr. Azman Ibrahim, Dato' Wan Sukairi Wan Abdullah serta Nurkhuzaini Ab Rahman dalam majlis itu tadi.

Dalam masa sama, Menteri Besar menyeru semua penerima agar menghargai kemudahan yang disediakan serta memberikan komitmen sepenuhnya sebagai penerima rumah tersebut.

"Jadi semua sudah sedia maklum sebenarnya dan kita berharap mereka dapat mengambil amanah ini untuk membuat pembayaran. 

"Jadi itu sebenarnya yang paling penting. Kenapa kita perlu mereka disiplin dalam membuat pembayaran?

"Ini kita akan membantu kita mencepatkan proses tempat lain pula," jelasnya kepada pemberita ketika ditemui selepas melawat perumahan PSN itu tadi.

Tambah beliau, penempatan semula itu diharap menjadi contoh kepada pembentukan komuniti nelayan yang harmoni dan sejahtera pada masa hadapan.

Majlis tersebut turut menyaksikan simbolik penyerahan replika kunci rumah kepada wakil nelayan sebagai tanda rasmi penyerahan kediaman baharu menjelang Syawal.


Ketupat

Artikel Berkaitan