Jalur Gemilang
Berita :
Syarikat Terengganu Catat Hasil RM2.01 Bilion, Untung Tertinggi Dalam 12 Tahun
Syarikat Terengganu Catat Hasil RM2.01 Bilion, Untung Tertinggi Dalam 12 Tahun
Husaif Mamat
53 minit yang lepas
44

KUALA TERENGGANU, 30 September – Terengganu Incorporated Sdn Bhd (Terengganu Inc) mencatatkan hasil RM2.01 bilion pada 2025, tertinggi sejak penubuhannya pada 2006, manakala keuntungan selepas cukai mencapai paras tertinggi dalam tempoh 12 tahun.

Syarikat induk pelaburan milik kerajaan negeri itu menerusi kenyataan memaklumkan, hasil kumpulan meningkat 15 peratus berbanding RM1.75 bilion pada 2024.

Keuntungan selepas cukai pula meningkat kepada RM106.2 juta berbanding RM42.2 juta pada tahun sebelumnya, sementara keuntungan sebelum cukai melonjak 116 peratus kepada RM176.4 juta.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan, Dato’ Burhanuddin Hilmi Mohamed@Harun berkata, pencapaian itu sejajar dengan usaha kumpulan mempelbagaikan ekonomi negeri.

“Pencapaian ini membuktikan keupayaan Terengganu Inc menarik pelaburan strategik berskala besar, selaras dengan inisiatif strategik Kumpulan untuk memacu diversifikasi ekonomi negeri,” katanya dalam kenyataan bertarikh 28 September 2026.

Beliau turut menegaskan komitmen Terengganu Inc untuk meneruskan inisiatif strategik bagi menyokong aspirasi negeri sebagai hab pertumbuhan ekonomi bersepadu, sambil memastikan manfaat pembangunan dikongsi bersama rakyat.

Menurut kenyataan itu, peningkatan keuntungan kumpulan disokong prestasi operasi yang lebih baik serta pengoptimuman kos yang berkesan sepanjang 2025.

Kluster perladangan, minyak dan gas serta penjagaan kesihatan kekal menyumbang kira-kira 78 peratus daripada keseluruhan hasil kumpulan, manakala sektor infrastruktur, pembinaan dan pelancongan turut mencatatkan pertumbuhan berbanding tahun sebelumnya.

Dalam perkembangan sama, Terengganu Inc menerusi anak syarikatnya, KPKSB, memacu projek perluasan Pelabuhan Kemaman bernilai RM3.1 bilion.

Projek itu akan meningkatkan kapasiti pelabuhan sebanyak 2.5 kali ganda daripada 12 juta tan metrik kepada 30 juta tan metrik setahun.

Ia turut melibatkan kerja tebus guna tanah bernilai RM180 juta sebagai asas pembangunan kemudahan pelabuhan baharu, selain integrasi dengan Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) menerusi kerjasama bersama MRL dan EPIC Berhad.

Selain itu, Kerteh Terengganu Industrial Park (KTIP) bernilai RM6 bilion turut dimajukan sebagai hab industri biopolimer dan kimia berasaskan bio.

Dalam sektor tenaga boleh diperbaharui, Terengganu Inc membangunkan Loji Fotovoltaik Solar Terapung Hibrid Hidro (HHFS) berkapasiti 595 MWac di Tasik Kenyir bersama TNB Power Generation Sdn Bhd (TNB GENCO).

Projek bernilai RM1.96 bilion itu disifatkan syarikat berkenaan sebagai projek solar terapung terbesar di Asia Tenggara.

Terengganu Inc turut memperluas penglibatannya dalam sektor penerokaan minyak dan gas melalui kerjasama bersama Petronas Carigali, Ping Petroleum dan EnQuest.

Menurut kenyataan itu, kepentingan penyertaan syarikat dalam kontrak perkongsian pengeluaran (PSC) PM6/12 berkuat kuasa pada 1 Januari 2027 dan merupakan penyertaan pertama negeri dalam PSC.

Bagi sektor pelancongan, kumpulan berkenaan meneruskan pembangunan destinasi bersepadu Pulau Poh di Tasik Kenyir di bawah jenama Primula by The Lake.

Inisiatif itu dijangka meningkatkan daya tarikan Tasik Kenyir sebagai destinasi pelancongan, di samping menyokong pertumbuhan ekonomi setempat serta pembangunan aktiviti pelancongan yang lebih pelbagai dan mampan.

Sepanjang 2025, Terengganu Inc turut menyalurkan RM16.25 juta bagi pelaksanaan pelbagai inisiatif tanggungjawab sosial korporat merangkumi pembangunan komuniti, pendidikan, sukan, kebajikan dan kelestarian alam sekitar.



Tag :

Jalur Gemilang

Artikel Berkaitan