Jalur Gemilang
Berita :
Terengganu Rancang Santuari Gajah Konsep Savana Tangani Konflik Manusia - Hidupan Liar
Terengganu Rancang Santuari Gajah Konsep Savana Tangani Konflik Manusia - Hidupan Liar
Rohayati Ripin
11 jam yang lepas
101

KUALA TERENGGANU, 20 November – Kerajaan negeri merancang mewujudkan kawasan santuari hidupan liar berkonsepkan savana seperti di Afrika sebagai penyelesaian jangka panjang bagi menangani konflik antara manusia dengan gajah yang semakin membimbangkan di Terengganu.

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani, Keterjaminan Makanan dan Komoditi negeri, Dato Dr. Azman Ibrahim berkata, kawasan khas itu akan menyediakan habitat semula jadi kepada gajah dan hidupan liar lain, sekali gus mengurangkan risiko haiwan berkenaan memasuki kawasan penempatan serta kebun penduduk.

Menurutnya, langkah itu dilihat penting susulan peningkatan konflik hidupan liar yang turut menyebabkan kerosakan tanaman petani, selain cabaran menguruskan kumpulan gajah dalam jumlah yang besar.

“Semalam, saya dimaklumkan wakil rakyat di DUN Air Putih bahawa terdapat satu kumpulan gajah di kawasan berkenaan yang dianggarkan mencecah 80 ekor.

“Keadaan ini sememangnya agak sukar untuk ditangani kerana melibatkan kumpulan gajah yang besar,” jelasnya ketika menjawab soalan tambahan  ADUN Bukit Besi Ghazali Sulaiman pada Persidangan DUN Terengganu, di sini, semalam.

Tambahnya, ketika ini Perhilitan menggunakan beberapa pendekatan termasuk pemasangan Sistem Pagar Elektrik Gajah (SPEG), kaedah tembak halau serta operasi tangkap dan pindah bagi mengawal konflik berkenaan.

Dr Azman berkata, kaedah tembak halau bukan bertujuan membunuh sebaliknya mengembalikan gajah ke habitat asalnya, manakala operasi tangkap dan pindah hanya dilaksanakan sebagai pilihan terakhir.

“Operasi tangkap dan pindah memerlukan kos antara RM40,000 hingga RM50,000 bagi seekor gajah dan lazimnya lebih sesuai dilaksanakan terhadap haiwan yang bergerak bersendirian,” katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata, populasi gajah di Terengganu dianggarkan sekitar 200 ekor berdasarkan data Perhilitan, manakala kira-kira 42 peratus keluasan negeri masih diliputi hutan yang menjadi habitat semula jadi hidupan liar.

Bagaimanapun, ujarnya, konflik berkenaan bukan semata-mata disebabkan kekurangan habitat, sebaliknya turut dipengaruhi kewujudan kawasan kebun di pinggir hutan yang menjadi sumber makanan mudah kepada gajah.

“Apabila kebun-kebun dibangunkan di kawasan pinggir hutan, kawasan itu menjadi sumber makanan yang mudah diperoleh gajah kerana makanan tersedia di hadapan mata haiwan berkenaan,” katanya.

Menurutnya, keluasan tanaman yang rosak akibat konflik hidupan liar meningkat daripada 0.7 hektar pada 2024 dengan nilai kerugian RM20,800 kepada 1.1 hektar pada 2025 membabitkan kerugian RM32,000.

Angka itu terus meningkat pada 2026 apabila keluasan tanaman rosak mencecah 1.6 hektar dengan nilai kerugian melebihi RM49,000.

Dr. Azman berkata, kerajaan negeri turut memberi perhatian kepada nasib petani terjejas melalui Tabung Bencana Pertanian Negeri Terengganu dan bantuan yang disediakan Perhilitan.

Tambahnya, Perhilitan turut menyediakan Bantuan Kerugian Harta Benda dan Tanaman bagi membantu petani yang mengalami kerosakan akibat konflik hidupan liar.

“Kedua-dua sumber bantuan ini boleh dimanfaatkan petani sebagai sokongan untuk mereka bangkit semula dan memulakan kembali aktiviti pertanian,” katanya.


Tag :

Jalur Gemilang

Artikel Berkaitan