Berita :
Tuntutan Royalti Petroleum Kekal Keutamaan
Tuntutan Royalti Petroleum Kekal Keutamaan
Rohayati Ripin
5 jam yang lepas
77

KUALA TERENGGANU, 24 April – Isu tuntutan royalti petroleum kekal sebagai keutamaan utama apabila Ahli Dewan Negara yang dilantik kali kedua, Hussin Ismail berikrar untuk terus membawa suara negeri Terengganu di peringkat persekutuan.

Hussin berkata, sepanjang penggal perkhidmatan terdahulu, beliau tidak pernah berhenti membangkitkan isu hak royalti petroleum yang menurutnya perlu dikembalikan kepada Terengganu sebagaimana termaktub dalam Akta Petroleum 1975 dan perjanjian asal.

Menurut beliau, perjuangan tersebut akan diteruskan tanpa kompromi sehingga hak negeri itu dipenuhi sepenuhnya, walaupun terdapat pihak yang mempersoalkan tindakan beliau mengulang-ulang isu berkenaan.

“Saya sedar ada pihak yang cuba menyekat dan mempersoalkan mengapa perkara sama dibangkitkan berulang kali.

"Namun saya tegaskan kita tidak akan berhenti bercakap mengenai royalti sehingga ia dikembalikan kepada Terengganu mengikut peruntukan asal,” katanya.

Hussin berkata, segala usaha yang dilakukan sentiasa diteliti agar tidak bercanggah dengan kepentingan negeri dan kerajaan negeri Terengganu.

“Alhamdulillah, saya cuba laksanakan sebaik mungkin dan sentiasa menyemak setiap perkara supaya selari dengan kepentingan negeri,” ujarnya.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas pelantikan semula beliau bagi penggal kedua sebagai Senator Dewan Negara mewakili Terengganu selepas Persidangan DUN Terengganu, pada semalam.

Selain isu royalti, Hussin turut menegaskan peranannya sebagai wakil negeri untuk membawa pelbagai kepentingan rakyat termasuk menjadi penyemak imbang terhadap dasar dan keputusan di peringkat persekutuan.

Tambahnya, walaupun terdapat kekangan tertentu termasuk isu peruntukan kepada ahli Dewan Negara bukan daripada kerajaan, tanggungjawab untuk menyuarakan kepentingan negeri tetap dilaksanakan secara konsisten.

“Saya akan terus memastikan setiap perkara yang dibawa tidak bercanggah dengan kepentingan negeri dan rakyat Terengganu,” ujarnya.

Beliau turut menyatakan harapan agar pengalaman sepanjang penggal pertama dapat dimanfaatkan bagi memperkukuh hujah dan memperjuangkan agenda negeri dengan lebih berkesan di Dewan Negara.


Tag :

Ketupat

Artikel Berkaitan