International Muay Challenge Tampil Peninju Terbaik Dunia

Dua peserta DSPEX International Muay Challenge Terengganu 2018 sedang bergelut memungut mata kemenangan.
Oleh: Wan Luqman Hakim

KUALA TERENGGANU - Penganjuran DSPEX International Muay Challenge Terengganu 2018 mendapat sambutan menggalakkan daripada orang ramai malah menampilkan peninju Muay Thai terbaik dunia iaitu Saenchai dari Thailand dan juga Kim Donghuan dari Korea Selatan.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan NGO negeri, Ustaz Wan Sukairi Wan Abdullah berkata, pertandingan ini mendapat sambutan daripada para peminat sukan Muay Thai di pantai timur dan negeri-negeri lain.

"Malaysia juga tidak kurang hebatnya dengan penyertaan dari pelbagai negeri," ujarnya.

Katanya, Kerajaan Negeri Terengganu cukup berbangga dengan atlet sukan Muay Thai Sukan Malaysia (SUKMA) 2018 di Perak baru-baru ini yang telah membawa pulang pingat emas, perak dan gangsa untuk kontinjen negeri.


Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan DSPEX International Muay Challenge Terengganu 2018 mewakili Menteri Besar di Stadium Tertutup Gong Badak, semalam (5 Oktober).

Menurut Ustaz Wan Sukairi Wan Abdullah yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Wakaf Mempelam, pertandingan tersebut dianjurkan oleh Kelab Muay Thai Kubang Jela dengan kerjasama Persatuan Muay Thai Negeri Terengganu.

"Ini merupakan penganjuran kali ketiga sejak 2015.

"Kali ini, kita adakan sedikit kelainan.

"Pertarungan melibatkan peninju Muay Thai bertaraf dunia dan juga para peserta yang datang dari pelbagai negeri dan juga luar negara," jelasnya.

Dalam perkembangan yang sama, beliau mengharapkan penganjuran program ini dapat menarik minat anak muda dan remaja untuk meminati sukan Muay Thai.

"Aktiviti sukan yang mencabar ini akan dapat mendisiplinkan anak muda dari terjebak dengan gejala yang tidak sihat dengan kecenderungan mereka kepada aktiviti-aktiviti lasak yang mencabar minda dan fizikal.

"Selain itu, kita berharap ianya dapat mengcungkil bakat baru anak-anak muda dalam sukan ini yang boleh diketengahkan untuk mewakili negeri dan negara dalam pertandingan-pertandingan akan datang di setiap peringkat," katanya.

Tambahnya lagi, penganjuran Muay Thai ini sekaligus dapat menonjolkan industri pelancongan Negeri Terengganu.

"Mudah-mudahan program ini dapat memberi manfaat kepada seluruh rakyat dan juga kerajaan negeri khususnya dan Malaysia amnya," ujarnya.

Tag: