Irfan Harap TFC Juara Piala Malaysia

Irfan (tiga dari kiri) memberi kata perangsang kepada anak buahnya dalam sesi latihan di Padang C, berhampiran Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin di Gong Badak Kuala Nerus 23 Oktober. TFC akan  berdepan dengan Perak di Stadium Shah Alam, Selangor, 27 Oktober ini.
KUALA NERUS, 24 Oktober - Ketua Jurulatih Pasukan Terengganu Football Club (TFC), Irfan Bakti Abu Salim, 64, mengharapkan pemain Sang Penyu itu memberi sumbangan terbaik di Final Unifi Piala Malaysia berdepan dengan Perak dan sokongan padu daripada penonton amat diperlukan.

Katanya, tanpa sokongan padu dari penonton, TFC tidak sampai ke final Piala Malaysia.

"Jadi bermainlah untuk lencana kita, untuk Negeri Terengganu dan untuk pasukan Terengganu," katanya ketika ditemui di Padang C, berhampiran Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Gong Badak, semalam.

Irfan Bakti Abu Salim.
Katanya, TFC berada dalam kumpulan yang sama dengan Perak (Kumpulan A), mata dan jaringan sama antara kedua-dua pasukan tersebut.

"Jaringan dan mata sama sahaja antara kita (TFC) dengan Perak, kedudukan kita menjadi 50-50 antara kita dengan Perak," jelasnya.

Baru-baru ini, TFC mengalahkan Johor Darul Ta'zim (JDT), dengan agregat 3-2 dalam perlawanan timbal balas peringkat separuh akhir di Stadium Larkin, Johor.

Manakala Perak mengesahkan aksi ke pentas final piala berkenaan biarpun jaringan sekadar terikat 2-2 ketika berdepan Sabah pada aksi separuh akhir kedua di Stadium Likas, Kota Kinabalu, baru-baru ini.

Serentak itu, Perak layak ke pentas final dengan agregat 7-2, hasil kemenangan 5-0 di Stadium Perak pada aksi separuh akhir pertama yang lalu.

Seterusnya, Irfan berkata, untuk strategi juara Piala Malaysia beliau akan berbincang dengan pembantu jurulatih pasukan.

TFC mempunyai tiga orang jurulatih tempatan berpengalaman bagi membantu Irfan mengatur strategi kemenangan TFC di pentas final piala tersebut.

Irfan yang terbabit selama 30 tahun dalam bidang kejurulatihan bola sepak, memberi jaminan semua kesebalasan utama akan diturunkan di Stadium Shah Alam, Selangor, 27 Oktober (Sabtu) ini dan tiada kecederaan dikenal pasti sekaligus pasukan Sang Penyu dalam keadaan siap sedia berdepan dengan Perak di malam hari tersebut.

Irfan menjelaskan bahawa beliau telah membawa TFC (Terengganu FA) ke pentas final menentang Negeri Sembilan FA tahun 2011 di stadium yang sama tetapi hanya berjaya menjadi naib juara Piala Malaysia ketika itu dengan satu jaringan berbalas dua.

"Jadi secara peribadi saya berhasrat menjadikan Piala Malaysia sebagai senarai anugerah peribadi istimewa saya selama terbabit dengan dunia bola sepak," tegasnya.

Sebelum ini, Irfan hanya berjaya membawa banyak pasukan yang dipimpinnya ke final Piala Malaysia tetapi belum membawanya ke peringkat juara.


Kipre Tchetche (kanan) dalam sesi latihan bersama pasukan TFC di Padang C berhampiran Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin Gong Badak Kuala Nerus.
Sementara itu, Ketua Pasukan Sang Penyu, Kipre Tchetche Hermann berkata, pasukan yang dipimpinnya bersemangat menjadi juara piala tersebut untuk tidak menghampakan harapan peminat hitam putih.

"Kami akan bermain secara berpasukan dan akan memperbaiki segala kelamahan untuk mencapai kemenangan tersebut," katanya kepada pemberita di padang yang sama.

Beliau tidak ada strategi dan target gol tertentu untuk mencapai juara tetapi Sang Penyu akan mempamerkan persembahan terbaik untuk tujuan tersebut.


Tag: