Wan Sukairi bersama wakil penaja LAJSM '19. |
KUALA TERENGGANU, 26 Ogos - Larian Antarabangsa Jambatan Sultan Mahmud (LAJSM) menyajikan kelainan apabila turut memasukkan Jambatan Angkat atau Drawbridge sebagai laluan utama pada penganjuran kali ini.
Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan Badan Bukan Kerajaan (NGO) negeri, Wan Sukairi Wan Abdullah memaklumkan, laluan tersebut akan dilalui oleh peserta larian bagi kategori 42km dan 21km sebelum ke Jambatan Sultan Mahmud yang menjadi ikon utama kejohanan.
“Bagi kategori lain iaitu 12km, 8km dan 5km pula akan melalui laluan dalam bandar dan Jambatan Angkat sebelum berpatah balik ke lokasi akhir di Batu Burok.
“Dalam LAJSM ’19, seramai 25,500 peserta telah mendaftar. Dari jumlah tersebut, seramai 5,000 merupakan peserta dari luar negeri termasuk 210 peserta dari luar negara,” katanya dalam sidang media kejohanan berkenaan, di Wisma Darul Iman, semalam.
Turut hadir, wakil-wakil penaja iaitu Ultron, 100 Plus, Prozin, Yakults, Primula Beach Hotel dan Red Bull Malaysia.
Beliau turut menyatakan, kerajaan negeri telah mengurangkan penajaan kos penganjuran kepada RM800,000 tahun ini dengan hampir 50 peratus pengurangan berbanding RM 1.5 juta tahun lalu.
“Kami berterima kasih kepada para penaja yang setia dengan LAJSM ’19. Walaupun dengan kos lebih rendah, kerajaan negeri yakin Persatuan Olahraga Amatur Terengganu (POAT) sebagai penganjur utama akan menyediakan kualiti terbaik dalam penganjuran ini.
“Saya juga menyeru kepada para peserta untuk hadir bersama keluarga sekali gus dapat menikmati kecantikan dan keindahan budaya negeri ini serta mendapatkan barang-barang yang hanya ada di Terengganu,” katanya.
LAJSM ’19 merupakan salah satu usaha kerajaan negeri menjayakan Visit Beautiful Terengganu 2020. Selain sukan itu, kerajaan negeri juga berusaha menaikkan pelbagai penganjuran sukan lain dalam usaha mempromosikan Terengganu menggunakan tema ‘Sport Tourism’.