KUALA TERENGGANU, 2 Mei – Semua pihak terutama orang awam perlu memandang serius  tentang usaha pemuliharaan penyu  yang semakin terancam ketika ini.

Ketua Makmal Penyelidikan Luar, Institut Oseanografi dan Sekitaran (INOS), Universiti Malaysia Terengganu (UMT), Prof Madya Dr Mohd Uzair Rusli berkata, laporan awal mengenai penemuan setiap penyu atau spesies hidupan terancam penting kerana ia dapat membantu menyelamatkan haiwan tersebut.

Menurutnya, tahap kesedaran orang awam mengenai tindakan yang perlu dilakukan sekiranya terjumpa penyu atau apa-apa spesies haiwan terancam sama ada hidup atau mati di negara ini masih belum memuaskan.

“Orang awam masih belum mengetahui jabatan atau agensi manakah yang bertanggungjawab dalam menguruskan penemuan tersebut.

"Oleh itu, jabatan dan agensi kerajaan berkaitan perlu memperhebatkan lagi program kesedaran agar orang ramai tahu apakah tindakan yang perlu diambil sekiranya menjumpai penyu atau spesies terancam yang lain di negara ini,”katanya kepada pemberita.

Jelasnya, penemuan yang tidak dilaporkan ini berisiko  menjejaskan rekod serta data yang berkait rapat dengan kajian susulan mengenai perkara itu.

Baru-baru ini, satu lagi penemuan bangkai penyu direkodkan di Pantai Maras dekat Kuala Nerus.

Penemuan tersebut dilaporkan orang awam kepada pihak polis yang kemudiannya menghubungi UMT untuk tindakan lanjut.

Menurut Mohd Uzair, penyu jantan yang ditemui mati itu merupakan penyu spesies agar yang hanya akan kembali ke perairan cetek di sekitar kepulauan Terengganu ketika musim bertelur khususnya pada bulan Mac hingga Jun.

"Kebanyakan penyu mati disebabkan kecuaian manusia seperti terperangkap dalam pukat dan perbuatan khianat manusia yang memukul penyu untuk mengambil telurnya.

"Sebab itu penting untuk mana-mana individu yang terlibat dengan penemuan ini memaklumkannya segera kepada Jabatan Perikanan melalui talian Hotline Fishcom yang dibuka 24 jam iaitu 03-88885019 atau 03-88704058," katanya.

Tambahnya, laporan yang pantas mampu menyelamatkan penyu yang masih hidup sekiranya kecederaan yang dialami tidak terlalu parah.

"Jangan bersikap ambil lewa mengenai perkara ini kerana setiap penemuan sama ada hidup atau mati sangat penting untuk rekod kami dalam membuat kajian penyelidikan," katanya.

"Musim penyu bertelur tidak sepatutnya menjadi musim penyu mati terdampar. Ia kembali untuk meneruskan kelangsungan populasi, bukan untuk dikhianati,”ujar beliau lagi.

Mohd Uzair berkata negara telah kehilangan khazanah berharga iaitu spesies penyu belimbing yang kali terakhir direkodkan mendarat pada 2017.

"Kita sudah hilang penyu belimbing, jangan nanti hilang penyu agar pula. Usaha menyelamatkan penyu adalah tanggung jawab semua," ujarnya.


Tag: