DUNGUN, 1 Mac – Ahli Parlimen Dungun, Wan Hassan Mohd Ramli, memandang serius insiden tular yang melibatkan seorang penuntut Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) yang didakwa memuat naik gambar memijak al-Quran serta menghina Nabi Muhammad SAW di media sosial.
Menurut beliau, perbuatan tersebut bukan sahaja menghiris perasaan umat Islam, malah menyentuh kedudukan Islam sebagai agama Persekutuan sebagaimana diperuntukkan dalam Perkara 3(1) Perlembagaan Persekutuan.
Beliau mengambil maklum bahawa pihak polis telah menahan suspek dan kes sedang disiasat di bawah Seksyen 295 Kanun Keseksaan serta Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.
Walau bagaimanapun, beliau menegaskan bahawa dalam kes yang jelas menghina kesucian al-Quran dan Nabi Muhammad SAW, permohonan maaf semata-mata tidak mencukupi bagi menutup kesalahan yang disifatkan berat terhadap sensitiviti agama serta keharmonian negara.
Wan Hassan turut menyatakan bahawa pendekatan yang terlalu berlemah lembut dalam menangani isu sedemikian tidak wajar.
Katanya, kerajaan sebelum ini tegas dalam menegakkan isu melibatkan 3R (agama, kaum dan institusi diraja), justeru ketegasan yang sama perlu dizahirkan apabila Islam sebagai agama Persekutuan dihina secara terbuka.
“Undang-undang tidak boleh dilihat selektif atau lunak dalam kes yang menyentuh maruah agama. Malaysia adalah negara hukum.
“Kebebasan bersuara tidak pernah bermaksud kebebasan menghina agama,” katanya.
Beliau turut menegaskan bahawa setiap warganegara tanpa mengira bangsa dan agama wajib menghormati kedudukan Islam dalam Perlembagaan serta menjaga sensitiviti masyarakat majmuk.
Sehubungan itu, beliau menggesa kerajaan memastikan siasatan dijalankan secara telus, adil dan tegas, serta tindakan sewajarnya diambil menurut lunas undang-undang.
Tegasnya, isu ini bukan soal politik, sebaliknya soal prinsip dan maruah agama yang menjadi asas kepada kestabilan dan keharmonian negara.